Alumni    •    Vacancy

LATIHAN MENYELAMAT HADAPI SAAT CEMAS

L FIRST AIDUUM ONLINE: Kemalangan dan insiden cemas boleh berlaku di sekeliling kita tanpa diduga bak kata pepatah malang tidak berbau. Setiap kali berlaku kemalangan pasti ramai yang akan berhenti di tepi jalan mengerumuni mangsa dan hanya tengok saja sedangkan kita boleh menjadi penyelamat.

Atas kesedaran itu, UUM menganjurkan Kursus Asas Pertolongan Cemas dan Latihan ‘Automated External Defribillators (AED) Untuk First Aider’ bagi mencurahkan ilmu yang amat penting kepada kakitangan, di Dewan Seminar C, Pusat Konvensyen.

Pengarah Pejabat Pengurusan Risiko, UUM, Prof. Dr. Nuarrual Hilal Md Dahlan berkata, Kursus Pertolongan Cemas merupakan kursus kemahiran asasi yang sangat berguna sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi sebarang situasi kritikal dan kecemasan sama ada dalam kehidupan seharian mahupun sebarang bencana alam.

Pertolongan cemas adalah respons rawatan yang pertama yang diberikan untuk menyelamatkan nyawa, di samping membantu mengurangkan kesakitan sekali gus berusaha bagi menstabilkan seterusnya mengelakkan sebarang kecederaan menjadi lebih serius.

Prosedur pertolongan cemas sebagai respons rawatan pertama ini bukanlah sebagai pengganti kepada perkhidmatan kecemasan, tetapi sangat diperlukan sebagai langkah awal yang cepat serta boleh meningkatkan peluang survival sebelum rawatan lanjut dilakukan oleh profesional perubatan bertauliah.

Kemahiran pertolongan cemas boleh menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang lebih kuat justeru bidang ini perlu dipromosikan dan dipertingkatkan kemudahan akses supaya lebih ramai masyarakat dapat mempelajarinya dan yakin mempraktikkannya dalam situasi yang memerlukan.

“Inisiatif UUM dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia melahirkan Jurulatih Bertauliah Pertolongan Cemas ini, tepat pada masanya dalam usaha melindungi kesihatan dan kesejahteraan awam.

“Usaha ini penting dalam mendukung kesiapsiagaan negara menghadapi keadaan kecemasan seperti bencana banjir yang memerlukan sukarelawan yang berkemahiran dalam pertolongan cemas untuk memberikan bantuan bukan sahaja dari aspek kecederaan fizikal malahan juga dalam membantu memberikan sokongan psikososial kepada mangsa,” ujarnya.      

Peserta, Mohd Zairi Zainol dari Jabatan Canselori berkata, program kemahiran ini untuk memberikan pertolongan cemas sebagai respons atau rawatan pertama dengan serta-merta kepada mereka yang memerlukan.

“Saya dapat mempelajari ilmu pertolongan cemas yang amat berharga yang sebelum ini tidak diketahui di samping memahami situasi kecemasan sekiranya terdapat kemalangan berlaku di sekeliling kita termasuk di tempat kerja.

“Antara yang dipelajari, teknik dan kaedah yang betul seperti balutan dan cara pertolongan yang betul untuk pelbagai kecederaan sebelum dihantar ke hospital. Jadikan diri anda ‘penyelamat’,” katanya.