Alumni    •    Vacancy

KONGSI KAEDAH PEMBELAJARAN EFEKTIF SECARA ‘GAMES AND GAMIFICATION’

tksu sk asmaUUM ONLINE: Alor Setar - Bagi menarik minat murid untuk lebih fokus semasa proses pembelajaran, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berkongsi ilmu dan pendedahan dengan 35 murid menerusi Program 'Outreach' UUM, Bengkel STEM dengan Kemahiran Pembangunan Permainan Digital dan Gamifikasi.

Program anjuran Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC), UUM bersama Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sultanah Asma itu diadakan sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat negeri Kedah yang bermula hari ini sehingga 4 September.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Antarabangsa), Prof. Dr. Russayani Ismail berkata, program itu adalah pelengkap (atau in conjunction with) kepada pertandingan The 6th Sintok Games and Gamification (SIGG) 2022 yang akan dianjurkan pada November akan datang.

Menurutnya, program seperti itu penting kepada universiti dan sekolah sebagai proses pemindahan ilmu kepada masyarakat terutamanya murid-murid sekolah rendah untuk menarik minat mereka terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Oleh yang demikian, katanya, satu kaedah yang lebih efektif perlu dilaksanakan bagi mencapai tujuan tersebut iaitu melalui kaedah ‘games and gamification’ (permainan dan gamifikasi) yang lebih menyeronokkan kepada murid sekolah.

“Gamifikasi merupakan suatu pendekatan ‘game-changer’ yang menggunakan kaedah permainan seperti permainan video dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang akan menjadikan proses ini menjadi lebih menarik dan interaktif.

“Pada masa sama, pasaran dan permintaan untuk menghasilkan perisian gamifikasi juga adalah sangat tinggi. Justeru, perkembangan ini harus diberi perhatian oleh semua pihak kerana ia boleh menjadi sumber pendapatan yang lumayan,” katanya di SK Sultanah Asma, hari ini.

Russayani berkata, satu inisiatif pembangunan modal insan perlu dirangka bermula di peringkat sekolah rendah dengan mencungkil bakat murid yang berkebolehan untuk membangunkan gamifikasi dengan memberi penekanan kepada kefahaman murid tentang budaya tempatan dan identiti negara.

Tambah beliau, pihak sekolah mahupun universiti perlu menyiapkan anak didik agar dapat merealisaikan hasrat kerajaan negeri melalui Kedah 2035 yang ingin meletakkan wawasan pembangunan negeri Kedah ke arah negeri yang Sejahtera dan Berdaya Huni menjelang tahun 2035.

“Saya berharap program hari ini akan menjadi perintis kepada program yang lebih inklusif dan sentiasa diadakan serta ditambah baik di masa hadapan.

“Dengan kepakaran yang kita ada, UUM sentiasa terbuka dalam berkongsi ilmu kepada murid sekolah serta orang awam bagi menjana kreativiti dan seterusnya memupuk budaya pemikiran kreatif dalam menghasilkan produk berunsurkan ‘games and gamification’ yang mempunyai impak kepada pembangunan negara,” ucapnya.

Sementara itu, Guru Besar SK Sultanah Asma merangkap Pengerusi Program Outreach UUM ke SK Sultanah Asma, Zuraimi Mansor berkata, beliau berterima kasih kepada UUM yang telah memilih SK Sultanah Asma sebagai lokasi program ‘outreach’ hari ini.

Menurutnya, pihaknya menyambut baik hasrat untuk memperkasakan bidang STEM dalam pendidikan selaras dengan agenda kerajaan.

Katanya juga, SK Sultanah Asma amat menggalakkan muridnya untuk terlibat dalam bidang inovasi dan gamifikasi seperti itu.

Bagi peserta, Maisarah Imran dan Nur Aisy Zulaikha Ahmad Firdaus pula, penyertaan dalam program ini membolehkan mereka belajar perkara baharu yang memudahkan proses belajar.

Ujar mereka, apa yang dipelajari sangat menarik dan menghiburkan.

Pada program itu juga, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pengajian Tinggi, Dato' Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian telah meluangkan masa turut hadir meninjau aktiviti pembangunan permainan dan gamifikasi yang disertai murid-murid sekolah rendah itu, seterusnya menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta.