Alumni    •    Vacancy

KOLABORASI SCIMPA DAN FDAM LESTARIKAN HUBUNGAN INDUSTRI DAN AKADEMIK

fdamUUM ONLINE: Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) telah menerima kunjungan daripada Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), baru-baru ini.

Dekan SCIMPA, Dr. Ahmad Hisham Zainal Abidin berkata, tujuan pertemuan itu adalah bagi membincangkan lima agenda penting iaitu pemindahan maklumat, program ‘internship’, penglibatan industri dalam pengajaran dan pembelajaran, penempatan pelajar bekerja di industri dan keusahawanan yang selari dengan matlamat universiti dan FDAM demi kebaikan bersama.

Sementara itu, Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim berkata, FDAM mempunyai seramai 1300 ahli berdaftar yang mana 60 peratus adalah dari kalangan belia dan pengarah pelapis, manakala 40 peratus lagi adalah pengarah berpengalaman.

Menurutnya, ahli FDAM juga antara yang teramai mempunyai kelayakan akademik iaitu 55 peratus memiliki diploma, 30 peratus memiliki ijazah sarjana muda, 10 peratus pemegang sarjana dan 5 peratus adalah Doktor Falsafah (PhD). 

“Paling penting, SCIMPA harus bersama-sama dalam penglibatan pelbagai program FDAM dan kami di FDAM akan memberikan kerjasama sepenuhnya,” katanya yang juga terkenal dengan karektor ‘Pak Karim’ dalam drama lakonannya.

Menurutnya lagi, ahli akademik yang berlatarbelakang pelbagai kepakaran bidang sangat diperlukan dalam FDAM kerana mereka boleh berbincang, berdiskusi dan merangka perancangan yang strategik secara intelektual demi perkembangan industri kreatif di Malaysia.

Secara spesifik, katanya, matlamat utama adalah untuk mentransformasi satu dimensi baru dalam industri perfileman tanah air.

Pada masa yang sama, seramai 17  staf akademik dan dua staf bakat SCIMPA telah lulus pada sesi temuduga dan diterima sebagai Ahli Bersekutu FDAM, manakala Dr. Ahmad Hisham pula dianugerahi Ahli Kehormat FDAM berikutan sumbangan beliau yang cakna terhadap perkembangan industri kreatif di Malaysia.

Panel temuduga diketuai sendiri oleh Presiden FDAM bersama Biro FDAM. Turut meraikan kunjungan FDAM adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Shahimi Mohtar.