Alumni    •    Vacancy

KEUNIKAN 'CYNTOK BHATIK' TARIK MINAT JAKEL BEKERJASAMA

jakelUUM ONLINE: Keunikan 'Cyntok Bhatik' ciptaan penyelidik Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menarik minat NNZA Textile Sdn. Bhd. iaitu operator Jakel Trading Sdn. Bhd. Cawangan Alor Setar untuk memeterai Perjanjian Pelesenan Pengkomersialan Motif 'Cyntok Bhatik' dengan UUM.

Pemeteraian perjanjian tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah dan Pengarah Urusan NNZA Textile Sdn. Bhd., Zainul Saad di Balai Tamu, Canselori Sultan Sallehuddin, hari ini.

Dalam ucapan Naib Canselor berkata, beliau berbesar hati kerana Jakel menjadi rakan strategik UUM dalam mengetengahkan produk inovasi UUM 'Cyntok Bhatik' yang dibangunkan kumpulan penyelidik diketuai Prof. Madya Ts. Dr. Adzrool Idzwan Ismail dari Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) di pasaran.

Menurutnya, kerjasama itu merupakan satu perkembangan positif dan baik kerana universiti telah mula mengorak langkah bekerjasama dengan industri dan berharap ia adalah permulaan pertama atau terawal untuk meneroka peluang-peluang seterusnya.

Katanya, beliau berharap kolaborasi antara kedua pihak bagi tempoh lima tahun itu akan terus berkembang dan menjadi kebanggaan kepada UUM, Jakel dan negara dalam usaha memartabatkan 'Cyntok Bhatik' yang mempunyai sembilan motif utama.

"Saya mahu selepas termeterainya perjanjian ini, kita akan terus bergerak dengan aktiviti-aktiviti seperti yang sudah termaktub dan berharap lebih banyak motif batik dapat diketengahkan.

"Selain itu, saya juga mengalu-alukan kerjasama dengan Jakel dalam konteks penawaran program akademik dan pensijilan untuk warga kerja Jakel yang berminat melanjutkan pengajian di UUM dengan menggunakan laluan APEL," katanya.

Prof. Dr. Haim Hilman berkata, kini Jakel sudah menjadi sebahagian daripada UUM, maka beliau berharap kerjasama antara UUM dan Jakel bukan sahaja untuk tempoh lima tahun sahaja, malah akan berterusan pada masa-masa akan datang.

Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan (Jabatan Operasi Runcit), Jakel Trading Sdn. Bhd., Azlan Abu Bakar berkata, beliau bangga kerana UUM mengambil inisiatif menghasilkan rekaan motif 'Cyntok Bhatik' itu, seterusnya membolehkan Jakel menerusi NNZA Textile menguruskan bahagian pengkomersialan.

Menurutnya, kerjasama strategik Jakel dengan UUM merupakan julung kali dijayakan dengan universiti tempatan dari aspek reka bentuk (design) batik tersebut.

Katanya, beliau mahu motif batik itu dapat diketengahkan bukan sahaja di dalam negeri Kedah, malah ke semua negeri di Malaysia dengan lebih banyak motif menarik lagi.

"Selain motif 'Cyntok Bhatik', saya juga berharap UUM boleh 'come out' dengan motif-motif berasaskan budaya tradisi kita berbentuk abstrak yang akan dimodenkan pada masa hadapan.

"Dari situ, Jakel akan memasarkan kesemua motif hasil ciptaan UUM ini ke seluruh cawangan Jakel di seluruh negara dan secara tidak langsung kita tidak perlu lagi bergantung kepada 'design' luar yang motifnya dihasilkan dari luar negara," katanya yang turut melahirkan hasrat untuk memperbaharui tempoh kerjasama dengan UUM setiap lima tahun.

Pada masa sama, Azlan turut menyambut baik tawaran Naib Canselor untuk menerima staf Jakel yang ingin melanjutkan pengajian di UUM.