Alumni    •    Vacancy

KEKAL AKREDITASI AACSB SUMBANGAN TERBESAR JULANG NAMA UUM

aacsbUUM ONLINE: Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi universiti awam pertama yang berjaya mengekalkan akreditasi Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB) bagi tempoh 5 tahun lagi dengan menggunakan standard baru iaitu 2020 Business Accreditation Standards.

Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, akreditasi ini memberikan semangat, inspirasi dan keyakinan kepada UUM untuk terus menjulang nama universiti ini dan mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa.

“Satu perjalanan yang panjang bermula 2010 di mana kita mendapat AACSB pada 2016 dan mengulanginya pada 2022. Pentauliahan semula akreditasi AACSB merupakan proses penambahbaikan yang rapi dan berterusan.

“AACSB merupakan anugerah paling berprestij dalam bidang pengajian perniagaan dan saya yakin bahawa inilah sumbangan terbesar UUM dalam dunia perniagaan. Kita kongsikan akreditasi ini dengan seramai mungkin pelajar dan berusaha untuk memenuhi hasrat dalam memastikan pengurusan perniagaan benar-benar kompetitif,” katanya.     

Kejayaan tersebut tidak akan dicapai tanpa pasukan yang diketuai Pengarah Unit Akreditasi AACSB, Prof. Madya Dr. Arpah Abu Bakar yang telah membuktikan UUM memiliki program ijazah bidang perniagaan yang berkualiti dan diiktiraf di peringkat antarabangsa, sekali gus menunjukkan bahawa warga UUM sentiasa mengamalkan budaya penambahbaikan berterusan.

Dr. Arpah berkata, UUM merupakan antara universiti terbesar yang mendapat Akreditasi AACSB merangkumi 16 program sarjana muda dan 11 program pascasiswazah yang melibatkan seramai 14,544 pelajar dan 442 pensyarah sepenuh masa.

Menurutnya, beliau bersyukur dapat membantu UUM mengekalkan akreditasi AACSB untuk tempoh 5 tahun lagi. Peluang dan kepercayaan yang diberikan dalam menerajui Unit Akreditasi AACSB sejak 2019 sangat bermakna.

“Bukan mudah untuk memperoleh akreditasi AACSB kerana untuk mendapatkan pentauliahan semula ini memerlukan penyelarasan usaha berpasukan daripada semua warga UUM, termasuk pengurusan tertinggi UUM, fakulti, kakitangan sokongan profesional, pelajar, alumni dan rakan kongsi strategik daripada industri.

“Banyak cabaran yang dihadapi untuk memastikan UUM mematuhi 9 standard yang digariskan dalam 2020 AACSB Business Standards memandangkan ‘standard’ ini baru diperkenalkan, justeru pasukan AACSB perlu melaksanakan pelbagai sesi latihan bagi memastikan semua pusat pengajian memahami keperluan piawaian dan melaksanakannya dengan berkesan,” katanya lagi.

Pencapaian itu turut dikongsikan bersama Pengarah Unit Akreditasi AACSB yang pertama, Prof. Madya Dr. Faudziah Zainal Abidin yang meluahkan kegembiraan dengan kejayaan yang dicapai rentetan hasil usaha yang dirintisnya sejak 2016 yang membuktikan komitmen berterusan untuk memberikan pendidikan lestari berkualiti.

UUM merupakan beberapa universiti di dunia yang menawarkan ijazah dalam bidang perniagaan yang telah memperoleh akreditasi AACSB dan UUM merupakan institusi ketiga di Malaysia yang diakreditasi oleh AACSB International selepas Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

AACSB International merupakan sebuah badan akreditasi global sekolah perniagaan yang berprestij dan tertua di dunia yang bertanggungjawab menyediakan jaminan kualiti diperlukan untuk program-program perniagaan.