Alumni    •    Vacancy

JADIKAN KONSEP KELUARGA MALAYSIA SEBAGAI PANDUAN KEHARMONIAN NEGARA

canselor sesi 1UUM ONLINE: Graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) diingatkan agar menjadikan konsep 'Keluarga Malaysia' sebagai panduan demi keharmonian dan kestabilan negara.

Titah Tuanku Canselor, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah, graduan perlu menerapkan konsep tersebut dalam memupuk semangat bersama antara satu sama lain.

Baginda bertitah, berusahalah untuk memiliki hubungan yang serasi dan seimbang dan saling memberi dan menerima, selain meraikan perbezaan dengan hati terbuka.

"Jadilah juga generasi yang mengambil tahu, generasi yang bijak memanfaatkan teknologi terkini dan seterusnya dapat menyuntik pembaharuan positif terhadap bangsa, agama dan negara.

"Kelestarian pembangunan negara bergantung kepada graduan yang merupakan harapan bangsa dan juga pengemudi negara," titah Baginda menerusi rakaman video pada sesi pertama Majlis Konvokesyen Ke-33 UUM yang berlangsung di Dewan Mu'adzam Shah, pagi ini.

Tuanku Canselor bertitah, pandemik Covid-19 meninggalkan impak yang besar terhadap hampir kebanyakan aktiviti ekonomi negara, negeri Kedah tidak terkecuali.

Titah Baginda, baginda yakin berdasarkan kekuatan semasa, sektor industri yang berkembang pesat serta projek-projek berimpak tinggi yang mula dilaksanakan dapat membantu negeri Kedah untuk terus bergerak ke hadapan dan menjadi negeri maju mengikut acuan sendiri.

Sehubungan itu, titah Baginda, Pelan Pembangunan Kedah 2035 telah dirangka bagi mencapai matlamat negeri 'Sejahtera dan Berdaya Huni' dalam tempoh 14 tahun lagi.

"Beta berharap, Pelan Pembangunan Kedah 2035 ini akan menjadi panduan utama negeri yang dapat meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan penduduknya.

"Beta juga berharap UUM dapat berganding bahu dengan kerajaan negeri untuk memacu agenda pembangunan negeri menerusi kerja-kerja penyelidikan, program komuniti dan juga latihan yang dibekalkan kepada pelbagai pemegang taruh. Graduan juga perlu mencipta peluang untuk menjadikan pertanian sebagai satu sumber pendapatan dan perniagaan," titah Baginda.