Alumni    •    Vacancy

GRADUAN UUM TERIMA GAJI PERMULAAN RM11,000 SEBULAN

5UUM ONLINE:  Tuah ayam nampak di kaki tuah manusia siapa yang tahu.

Begitulah bertuahnya graduan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Logistik dan Pengangkutan), UUM, Wong Wei Jie yang kini bekerja di sebuah syarikat antarabangsa Denmark, Maersk Omnichannel Fulfilment yang berpangkalan di Singapura. 

Bertugas sebagai ‘Global Management Trainee’, beliau mendapat gaji permulaan yang amat lumayan lebih RM11,000.     

Jelasnya, apabila menceburi bidang pekerjaan, ramai majikan mencari graduan yang memiliki ciri-ciri penting seperti ilmu, kepakaran dalam bidang tertentu dan soft skills terutamanya kemahiran berkomunikasi yang melicinkan urusan.

“Dunia kerjaya, memang sangat berbeza dengan menuntut ilmu di universiti dari segi membina hubungan dengan staf yang lain, jaringan antara jabatan.

“Apa jua kerja sekalipun, ilmu paling utama, pengalaman dan kemahiran yang  dipelajari ini juga merupakan satu bentuk pendidikan yang mampu mencorak masa depan yang cerah,” ujar penerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen ke-35 Universiti Utara Malaysia (UUM), di Dewan Mu’adzam Shah.

Beliau melakar kejayaan membanggakan apabila menamatkan pengajian sarjana muda kelas pertama dengan Purata Mata Keseluruhan (PMK) 3.84.

“Saya berasa sangat bertuah, ini rezeki saya dan pencapaiannya ini bukan sekadar kejayaan individu tetapi mencerminkan sokongan yang tidak berbelah bagi daripada keluarga, pensyarah dan rakan-rakan yang tidak pernah berhenti memberikan motivasi untuk mencapai ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Jelasnya, UUM merupakan antara universiti yang bukan sahaja menitikberatkan akademik malah kegiatan kokurikulum. 

Melalui penglibatan dalam aktiviti kokurikulum ini banyak mengajarnya   menjadi lebih berdikari, teratur dari segi pengurusan masa dan organisasi.

“Akademik cemerlang, kokurikulum mantap barulah dapat merasai keseronokan bergelar mahasiswa untuk mendapatkan pendedahan sebanyak mungkin,” katanya yang berhasrat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Anak kelahiran Sabak Bernam itu merupakan ahli Beta Gamma Sigma (BGS) UUM Chapter Kohort ke-4 dan dinobatkan sebagai pelajar terbaik di Majlis Konvokesyen CILT Malaysia 2022.

Data kebolehpasaran graduan (GE) pada tahun 2022 sebanyak 94.4 peratus, meningkat 10 peratus berbanding GE pada 2021 bermakna kebanyakan graduan UUM yang menaiki pentas untuk Konvokesyen ke-35 ini, sudah berada di alam pekerjaan.

Sementara itu, seorang lagi penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Ahmad Afiq Iqmal Ahmad Said sudahpun bekerja sebagai ‘People and Change Associate’ di KPMG, Petaling Jaya.

Jelasnya, KPMG merupakan salah satu daripada ‘Big 4,’ iaitu empat firma perkhidmatan profesional terbesar di dunia, merupakan sebuah firma perkhidmatan profesional global yang menyediakan perkhidmatan audit, cukai, dan konsultansi kepada pelanggan di seluruh dunia.

Mengulas lanjut kejayaan yang dikecapi, anak jati Tanah Merah, Kelantan ini berjaya memperoleh Anugerah Dekan pada setiap semester dengan Purata Markah Keseluruhan (PMK) 3.96.

“Saya sangat bersyukur, anugerah ini amat bermakna sekali gus membuktikan bahawa usaha tidak akan pernah mengkhianati hasil yang didedikasikan melalui ketekunan, dedikasi dan pengorbanan yang telah dicurahkan sepanjang pengajian.

“Anugerah ini juga bertindak sebagai peransang dan memotivasikan saya untuk terus mempunyai cita-cita yang tinggi dalam setiap apa yang akan dilakukan yang akan memberi impak positif dalam terutamanya dalam karier saya sekarang,” ujarnya.

Beliau turut berjaya meraih Ijazah Kelas Pertama dalam ijazah Sarjana Muda Sains (Sains Pemutusan) selain terpilih sebagai penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di atas kecemerlangan ini.

Ahmad Afiq merupakan seseorang yang menitikberatkan keseimbangan antara akademik dan kokurikulum yang melonjakkan momentum cemerlang ke arah menjadi mahasiswa holistik.     

“Menerusi pencapaian ini, saya dapat meningkatkan keyakinan diri, percaya dengan kemampuan diri sendiri di alam pekerjaan malah anugerah ini juga dapat memberi kesan positif kepada komuniti, di mana saya dapat menginspirasikan generasi muda untuk berusaha mencapai kemajuan diri.

“Sudah pasti perjalanan ini penuh berliku, antara cabaran yang dihadapi termasuklah pengurusan masa untuk menyeimbangkan komitmen akademik, aktiviti kokurikulum dan peribadi selain terpaksa mengorbankan kehidupan sosial demi mengejar kecemerlangan akademik.

“Jadi, pengorbanan anda bermula dari sekarang, korbankan masa terluang dengan aktiviti berfaedah terutamanya ulangkaji pelajaran di samping bergiat aktif dalam   kokurikulum secara tidak langsung anda dapat meningkatkan kemahiran organisasi,” pesannya.