Alumni    •    Vacancy

GRADUAN UUM RANGKUL MICPA GOLD MEDAL AWARD

micpaUUM ONLINE: Satu lagi pencapaian cemerlang Universiti Utara Malaysia (UUM) apabila graduan Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat) dianugerahkan MICPA Gold Medal Award oleh Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA) sebuah badan pengiktirafan profesional perakaunan di Malaysia.

Tai Qin Heng dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM), memperoleh markah tertinggi bagi Subjek ‘Management Accounting & Applied Finance’ sekali gus berada di tempat pertama di Malaysia untuk Term 3, 2021 yang diumumkan oleh MICPA, baru-baru ini. 

Qin Heng berkata, dia tertarik untuk menduduki program profesional itu kerana ia menyediakan satu platform bagi pelajar perakaunan untuk ditawarkan kerja dan penajaan daripada firma perakaunan terkemuka di Malaysia. 

Menurutnya, dia telah mengikuti program tersebut yang diambil secara atas talian sejak berada di semester tujuh di UUM dan berpendapat kursus itu amat bermanfaat terhadap kerjayanya pada masa hadapan.

Katanya, dia tidak menjangkakan akan terpilih menerima anugerah itu tambahan pula dihambat kesibukan belajar sambil bekerja. Pengurusan masa telah menjadi cabaran utama dan disiplin menjadi elemen yang paling penting bagi membolehkannya untuk mengekalkan momentum dalam persiapan untuk peperiksaan itu.

"Selepas menduduki peperiksaan itu, saya berpeluang mempelajari banyak ilmu dan perkara baharu di samping dapat meningkatkan tahap kemahiran analitikal memandangkan kursus ini memerlukan banyak aplikasi dari teori dalam silibus.

“Subjek Management Accounting & Applied Finance merupakan subjek ketiga yang saya telah lulus cemerlang dan berharap dapat kekalkan momentum cemerlang ini untuk dua subjek akan datang kelak,” katanya yang kini bekerja di KPMG, Selangor sebuah firma perakauanan terkemuka dunia sebagai Audit Associate.

Menurutnya, dia berterima kasih kepada ibu bapa, UUM, TISSA-UUM, MICPA, KPMG dan rakan-rakan di atas sokongan serta dorongan yang berterusan yang diberikan sepanjang perjalanan ini, sekali gus menaikkan semangatnya untuk terus bekerja lebih keras.

Dia turut berharap kejayaan itu dapat menyuntik inspirasi dan mendorong pelajar UUM untuk terus mengharumkan nama universiti.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada graduan TISSA di atas kejayaan mengharumkan nama UUM yang menjadi sumber inspirasi kepada semua.

Beliau berharap apabila melangkah ke alam pekerjaan mahasiswa sentiasa berpegang pada prinsip jujur, amanah, integriti dan tabah dalam diri semasa melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

Manakala Dekan TISSA-UUM, Prof. Dr. Nor Aziah Abdul Manaf menzahirkan rasa bangga dan gembira dengan pencapaian ini dan berkongsi perancangan TISSA pada tahun ini.

“Seramai 42 orang pensyarah TISSA yang mempunyai kelayakan Profesional telah dilantik menjadi mentor bagi membantu pelajar yang mendaftar program profesional di UUM,” katanya.

Untuk maklumat lanjut berkaitan program profesional yang ditawarkan di bawah TISSA-UUM boleh layari tissa.uum.edu.my atau hubungi Pengerusi Program Profesional, Dr. Dzarfan Abdul Kadir.