Alumni    •    Vacancy

GRADUAN UUM BAWA GAMBAR ARWAH BAPA MASA KONVO

graduan bapa meninggalUUM ONLINE: Sintok - Graduan Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Hamzan Mohd Saimi, 26 yang menghadiri Konvokesyen ke-33 Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 16 Mac 2022 membawa bersama gambar arwah bapanya untuk menyaksikan konvokesyennya.

Bapanya Mohd Saimi meninggal dunia pada 16 Januari 2021 dan tidak sempat menyaksikan konvoksyen anak sulungnya itu.

Muhammad Hamzan yang ditemani ibunya Mazlina Che Ismail 46 mendapat kejutan apabila Naib Canselor Prof Dr Haim Hilman Abdullah berjumpa dan memberi semangat kepadanya selepas melihat gambarnya dalam facebook memakai jubah dikubor bapanya di Pondok Sipol To’ Uban Pasir Mas Kelantan.

“Sikap terpuji terutama menghargai ibu bapa dan ingin melihat kehadiran mereka terutama semasa konvokesyen pastinya dinantikan oleh semua anak-anak tetapi Allah lebih sayangi orang tua Hamzan dan bersabarlah,” kata Prof Dr Haim Hilman.

Beliau berharap Muhammad Hamzan dapat teruskan usaha agar membanggakan keluarga termasuk melanjutkan pengajian lebih tinggi lagi.

Sementara itu Muhammad Hamzan yang ditemui berkata, walaupun bapanya berhasrat untuk melihat anaknya dipentas konvokesyen namun akibat COVID-19 dia hanya mendapat ijazah melalui pos laju yang diterima melalui posmen.

“Papa gembira kerana akhirnya saya dapat menamatkan pengajian di universiti apabila melihat ijazah itu,” katanya lagi.

Namun selepas UUM memaklumkan Majlis Konvokesyen ke-33 akan diadakan pada 13 hingga 19 Mac 2022 maka terdetik dihatinya wajah bapanya itu dan terpaksa mencetak serta membawanya ke UUM.

Sebaik sahaja menerima jubah melalui pos Muhammad Hamzan menyarung dan terus kekubor untuk memaklumkan kepada bapanya “Alhamdulillah Abang Dah Konvo Papa.. Terima Kasih Atas Segalanya..Semoga Tenang Disana, ”.

“Kita hanya boleh merancang tetapi Allah yang menentukan segalanya arwah bapa telah meninggal dan tidak sempat melihat konvokesyen yang saya hadiri pada hari ini namun ibu dan adik menemani saya,” ujarnya lagi.

Pada 25 Disember 2020 lalu Muhammad Hamzan sempat berswafoto dengan posmen dan bergambar kenangan dengan arwah bapanya setelah menerima Ijazah yang diterima melalui pos.