Alumni    •    Vacancy

GRADUAN HARUS KUASAI LIMA KEMAHIRAN UTAMA

NC sesi 1UUM ONLINE: Impak daripada pandemik Covid-19 dan peningkatan penggunaan mesin dan teknologi kini diramalkan akan menyebabkan lebih kurang 85 juta jenis pekerjaan bakal kehilangan pekerja.

Sehubungan itu, graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) diingatkan agar berusaha untuk memiliki kemahiran yang akan menjadi keutamaan majikan dalam tempoh lima tahun ini atau melangkaui tempoh tersebut.

Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, walaupun terdapat 15 kemahiran dinyatakan, namun hanya lima kemahiran utama yang akan menjadi keutamaan iaitu pemikiran kritis, penganalisaan, penyelesaian masalah, pengurusan kendiri dan sentiasa mahu mempelajari perkara baharu.

Menurutnya, graduan perlu bersedia untuk berubah dan menyesuaikan diri dengan segala perubahan yang berlaku.

Katanya, jangan berhenti daripada mempelajari perkara baharu walaupun atas inisiatif sendiri kerana segala ilmu ini pasti akan berguna sama ada di alam pekerjaan mahupun ketika berada dalam masyarakat.

"Untuk kekal relevan dalam realiti pasca pandemik ini adalah komited kepada pembelajaran sepanjang hayat.

"Proses pembelajaran ini tidak memerlukan masa yang lama atau implikasi kewangan yang tinggi kerana banyak kursus dalam talian yang kini dibuat secara percuma dan terbuka (MOOC) untuk meningkatkan kemahiran," katanya pada Sesi 1 Majlis Konvokesyen Ke-33 UUM di Dewan Mu'adzam Shah, pagi tadi.

Dalam usaha mencari rezeki, sudah pasti ada yang perlu menempuhi pelbagai kesukaran dan ada yang tidak perlu bersusah-payah memperoleh pekerjaan.

Prof. Dr. Haim Hilman berkata, beliau berharap agar graduan dapat mengekalkan sifat integriti dalam diri seperti jujur dan memiliki prinsip moral yang teguh yang tidak membuatkan diri goyah sekiranya berhadapan dengan hal-hal yang melanggar norma-norma kemanusiaan dan nilai-nilai murni sejagat.

Menurutnya, bukan mudah untuk mengekalkan sifat berintegriti disebabkan pelbagai dugaan yang terdapat di sekeliling.

Namun, katanya, berusahalah menjadi seorang yang dipandang tinggi dan dihormati oleh masyarakat dengan bersikap jujur, amanah, boleh dipercayai dan bersikap adil, selain sentiasa mengotakan janji dan melakukan tindakan selari dengan kata-kata yang diucapkan.

"Rasulullah SAW merupakan contoh terbaik untuk diikuti yang boleh menjadi model dan ikon terbaik manusia sejagat atas keperibadian yang tinggi.

"Kesemua akhlak yang ditonjolkan Baginda adalah sangat berharga dan perlu diteladani serta diaplikasikan dalam kehidupan kerana setiap individu perlu amanah dalam menggalas tanggungjawab yang diberi walaupun sekecil-kecil tanggungjawab," katanya.

Beliau berharap seluruh warga UUM dan graduan akan terus mengorak langkah mencapai kecemerlangan dan dalam masa yang sama menjunjung etika yang tinggi bagi memastikan pengurusan dan keterampilan universiti terus disanjung dunia.

Pada sesi pertama ini, seramai 244 graduan menerima ijazah masing-masing yang disampaikan Naib Canselor.