Alumni    •    Vacancy

FORUM PASCA BELANJAWAN 2023

L pascaUUM ONLINE: Forum Pasca Belanjawan 2023, program tahunan anjuran Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) memberi kupasan terhadap Bajet 2023 berkaitan impak belanjawan yang dibentangkan kepada proses pemulihan, pembinaan semula daya ketahanan negara dan transformasi negara di era pascapandemik.

Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, forum ini dapat memberi impak positif kepada semua pihak serta menjadi salah satu sumbangan universiti kepada kerajaan dalam usaha untuk menggerakkan semula ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat.

“Menerusi forum ini kita berkongsi buah fikiran yang bernas tentang apakah kemungkinan yang yang ditawarkan pada rakyat, kita melihat dari sudut bagaimana memainkan peranan membangunkan ekonomi dalam konteks institusi agar bersama melangkah sederap ke hadapan.

“Barisan panel akan melihat inti pati penting yang berlaku dalam masa terdekat ini di samping melihat aspek dalam bajet yang boleh dikaitkan dengan bagaimana kesejahteraan ekonomi itu dapat kita bangunkan bersama demi kelangsungan agenda pembangunan ekonomi di negara kita khususnya di Kedah,” ucapnya ketika merasmikan forum itu di Dewan Sri Angsana, EDC-UUM, semalam.

Jelasnya, universiti sentiasa bersama kerajaan negeri untuk membangunkan ekonomi memandangkan UUM mempunyai kekuatan yang wajar dikongsi bersama.

Menurutnya, memandangkan ramai pemikir yang berjaya selepas jutaan ringgit dibelanjakan berada di universiti ini maka UUM mengembalikan apa yang dipinjamkan daripada pembayar cukai.

“Universiti harus berdiri bersama barisan yang ada dan berjuang bersama membangunkan model ekonomi baru yang benar-benar mengubah landskap ekonomi pada masa sama kita menawarkan diri pada kerajaan dengan kekuatan yang kita ada supaya setiap sen tidak akan disia-siakan demi pembangunan ekonomi.

“Kita mahu menggerakkan dan membangunkan jiwa anak-anak apabila mereka keluar dari universiti agar mereka cakna, faham dan mudah bekerja.

“Kita tidak banyak wang ringgit seperti negeri lain tapi kita ada semangat dan cita-cita untuk membangunkan agama, bangsa dan negara untuk terus berjaya kerana kita adalah penyambung penerus agenda bersama bak kata pepatah, bulat air kerana pembentung bulat manusia kerana muafakat untuk mengangkat agenda besar agar semua dapat merasakan kemakmuran yang diimpikan. 

Sementara itu,  Pengarah Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), Prof. Madya Dr. Roslina Kamaruddin berkata, acara tahunan ini menyediakan platform kepada ahli akademik, industri dan pembuat dasar berbincang tentang intipati yang dibentangkan dalam belanjawan negara seterusnya input daripada forum ini akan didokumenkan dan dikongsikan dengan Kementerian Kewangan Malaysia (MoF).

“Tiga keutamaan yang dibentangkan dalam Belanjawan 2023 menjadi fokus dalam Forum Pasca Belanjawan 2023 anjuran ECOFI ini,” katanya.

Jelasnya, Forum Pasca Belanjawan 2023 yang bertemakan ‘Memperkukuh Pemulihan, Memudahkan Cara Pembaharuan Ke Arah Kemampanan Daya Tahan Ekonomi dan Kesejahteraan Keluarga Malaysia’ akan digubal berdasarkan tiga bidang keutamaan iaitu memperkukuhkan momentum pemulihan, membina daya tahan ekonomi dan melaksanakan pembaharuan komprehensif.

Empat panel dari pelbagai latar belakang iaitu Pengarah Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah, Muhamad Mahazi Ibrahim; Presiden Persatuan Pengguna Kedah, Mohamad Yusrizal Yusoff; Ahli Majlis Penasihat Pengguna Negara, Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Prof. Dr. Asan Ali Golam Hassan dan pensyarah SEFB, Prof. Dr. Mukaramah Harun.