Alumni    •    Vacancy

EMPAT SASARAN DEMI KELESTARIAN UUM

1UUM ONLINE: Para penjawat merupakan pewaris kepada kesinambungan perjuangan untuk terus meletakkan Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai universiti tersohor di peringkat negara dan antarabangsa. 

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan berkata, dalam membina kelestarian UUM ke peringkat yang lebih cemerlang, empat sasaran yang digariskan antaranya menjadikan UUM sebagai universiti pengurusan terkemuka sebagai fokus utama.

“Inilah niat asal penubuhan UUM pada tahun 1984, kita menjurus pada pengurusan justeru kita seharusnya mempunyai tekad untuk membina universiti pengurusan terkemuka.

“Kedua, menjadikan UUM kondusif dan harmoni di mana suasana ini merangsang kreativiti dan kerajinan para pensyarah, pentadbir dan pelajar untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing hasilnya pelajar hebat akan dapat dihasilkan,” ujarnya.

Untuk melaksanakan hal itu, beliau mengajak semua pentadbir untuk memikirkan apakah langkah terbaik menjaga kebajikan staf, dengan peruntukan terhad sekali gus   meletakkannya sebagai KPI untuk menjana kewangan yang tinggi kepada universiti.

“Perkara ketiga yang sangat rapat di hati saya adalah untuk memperkasakan mahasiswa supaya merasai pengalaman menyeronokkan sepanjang berada di UUM di samping memiliki kemahiran dari segi pengetahuan teknikal dan insaniah.

“Jika tidak puas hati terhadap beberapa keputusan pihak universiti, saya mengharapkan sesuatu masalah diselesaikan dengan baik melalui proses perbincangan untuk mendapat keputusan rasional,” jelasnya.

Selain itu katanya, usaha berterusan perlu dibuat untuk menjadikan kehadiran UUM sangat bermanfaat kepada masyarakat.

“Setiap PTJ atau pusat pengajian mempunyai tempat khas atau daerah angkat untuk memberi sumbangan selain program sukarelawan  untuk membantu mereka yang kesusahan.

“Dalam menjalankan pentadbiran seharian, saya menyeru agar semua pihak berganding bahu untuk mendasari lima prinsip penting dalam organisasi seperti integriti, bekerja bersama, prihatin, percaya, dan ikhlas,” ucapnya pada Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Penjawat Utama UUM 2023, di EDC-UUM, semalam.

Katanya, sebagai barisan pemimpin yang silih berganti bertanggungjawab untuk meneruskan intipati perjuangan UUM dengan pendekatan atau tatacara yang sesuai mengikut keadaan dan situasi semasa.

“Hari ini kita menerima tanggungjawab dan amanah yang besar bagi memastikan UUM terus dapat diletakkan di dalam peta pengurusan dunia dan saya menyeru semua warga UUM untuk bersama-sama membangunkan universiti tercinta,” katanya.

Beliau merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada 54 penjawat tahun 2023 yang baru dilantik. 

Mendahului penerima watikah, Prof. Dr. Ram Al-Jafri Saad dilantik sebagai sebagai Penolong Naib Canselor UUM COB merangkap Dekan Pusat Pengajian Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), Prof. Dr. Osman Ghazali (Penolong Naib Canselor UUM CAS merangkap Dekan Pusat Pengajian Pengkomputeran), Prof. Madya Dr. Zainal Amin Ayub (Penolong Naib Canselor UUM COLGIS merangkap Dekan Pusat Pengajian Undang-undang).  

Pada majlis itu juga turut menyaksikan bacaan ikrar para penjawat yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Zainal Amin Ayub.