Alumni    •    Vacancy

DUA PROGRAM TISSA TERIMA PENGIKTIRAFAN PENGECUALIAN PENUH DARI ACCA

tissaUUM ONLINE: Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berjaya menerima pengiktirafan pengecualian penuh (maximum exemption) dari Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), sebuah badan profesional perakaunan terkemuka dunia.

Pengiktirafan selama lima tahun ini dianugerahkan kepada dua program iaitu Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian dan Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat) dengan Kepujian yang bakal melibatkan graduan mulai 1 Januari 2023 sehingga penghujung 2027.

Dengan pengecualian ini, graduan kedua-dua program berkenaan hanya perlu menduduki empat kertas peperiksaan ACCA berserta pengalaman kerja untuk melayakkan mereka menjadi akauntan bertauliah.

Pengecualian ini kesinambungan pengiktirafan pengecualian daripada ACCA kepada UUM sebelum ini yang akan tamat pada hujung Disember tahun ini.

Selain itu, pengiktirafan ini juga melayakkan para pelajar dari dua program berkenaan untuk mengikuti “ACCA Accelerate Program” yang membolehkan mereka menduduki peperiksaan ACCA semasa masih belajar di UUM.

ACCA Accelerate Program merupakan program yang hanya ditawarkan kepada beberapa buah institusi pengajian terpilih sahaja dan sehingga kini dianggarkan lebih 150 pelajar perakaunan UUM yang mengikuti program ini telah lulus kesemua kertas peperiksaan ACCA termasuk Looi Pui Mun yang dinobatkan pelajar ACCA terbaik dunia pada tahun 2022.

Manfaat lain yang bakal dinikmati oleh pelajar yang mengikuti program ini ialah yuran pengajian ACCA yang lebih murah berbanding yuran yang dikenakan apabila mereka telah tamat pengajian.

Mengulas tentang perkembangan ini, Dekan TISSA, Prof. Dr. Nor Aziah Abd. Manaf merakamkan jutaan terima kasih kepada Naib Canselor dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung kerana menerima saranan dan cadangan demi memastikan para pelajar di pusat pengajian berkenaan mendapat pengecualian penuh.