Alumni    •    Vacancy

DUA ATLET UUM RANGKUL ANUGERAH ATLET TERBAIK UNIVERSITI MASUM 2019

MASUMUUM ONLINE: Melaka - Dua pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) telah dinobatkan sebagai Atlet Terbaik Universiti pada Anugerah Sukan Majlis Sukan Universiti (MASUM) 2019 yang berlangsung di Hotel Holiday Inn, baru-baru ini.

Dua atlet tersebut, Muhammad Faqih Che Lah telah dinobatkan sebagai Atlet Terbaik Universiti Kategori Lelaki, manakala Wan Nur Fatin Shahirah Wan Shuhaimi dinobatkan sebagai Atlet Terbaik Universiti Kategori Wanita.

Kejayaan Muhammad Faqih yang merupakan pelajar Sarjana Muda Perbankan itu adalah hasil pencapaian cemerlang sepanjang tahun 2019 apabila memperolehi dua pingat emas dalam Kejohanan Silat Antarabangsa 2019 dan Karnival Sukan MASUM 2019 dalam acara silat olahraga.

Sementara pencapaian Wan Nur Fatin Shahirah, pelajar Sarjana Muda Sains Kuantitatif (Sains Pemutusan) itu berikutan penglibatan aktif sepanjang 2019 dalam sukan futsal yang mana dia telah mewakili pasukan Malaysia KPT ke Kejohanan Sukan Persahabatan Atlet Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Malaysia dan Indonesia (SUKMALINDO) dan kejayaan memperoleh pingat perak pada Karnival Futsal Wanita IPT 2019.

Kedua anugerah tersebut telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Abdul Razak Jaafar.

Turut hadir menyaksikan kejayaan itu ialah Pengarah Pusat Sukan, Mohd Nizar Ahmad Padzi.