Alumni    •    Vacancy

DAPATAN KAJIAN PENYELIDIK SOC TINGKAT KESEDARAN KESELAMATAN SIBER

soc annuar musaUUM ONLINE: Putrajaya - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa telah melancarkan Laporan Eksekutif Dapatan Kajian Tanda Aras Tahap Kesedaran Keselamatan Siber Dalam Kalangan Murid Sekolah dan Ibu Bapa 2021/22 sempena Hari Keselamatan Internet 2022 di Putrajaya Marriott Hotel, kelmarin.

Dapatan kajian peringkat nasional itu dijalankan 10 penyelidik dari Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Universiti Utara Malaysia yang diketuai oleh Prof. Ts. Dr. Suhaidi Hassan.

Dekan SOC, Prof. Madya. Ts. Dr. Azham Hussain yang mewakili Naib Canselor berkata, hasil kajian itu adalah penting dan akan dijadikan rujukan dan panduan untuk pembangunan program serta modul kesedaran keselamatan siber khususnya Modul Etika Siber Nasional yang sedang dibangunkan oleh CyberSecurity Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Menurutnya, kajian yang melibatkan murid-murid sekolah serta ibu bapa di seluruh negara ini merupakan satu kajian yang komprehensif lagi terangkum meliputi pelbagai aspek penggunaan teknologi digital.

Katanya, ia dilaksanakan bertujuan untuk melihat tahap kesedaran keselamatan siber secara menyeluruh, pola tingkah laku serta kecenderungan trend penggunaan teknologi, internet dan media sosial.

Sementara itu, Prof. Ts. Dr. Suhaidi berkata, pasukannya telah menjalankan kajian ke atas 16,098 responden terdiri daripada 13,953 murid sekolah termasuk murid berkeperluan khas (MBK) dan 2,955 ibu bapa pada 16 November hingga 3 Disember 2021.

“Berdasarkan dapatan kajian tersebut, kita dapati ketagihan internet, kurang kesedaran kewarganegaraan digital serta kawalan ibu bapa yang kurang efektif telah menyebabkan peningkatan risiko keselamatan siber terhadap generasi muda.

“Terdapat beberapa komponen utama yang perlu diberi penekanan antaranya ialah akses kepada kandungan internet yang tidak sesuai (inappropriate content), risiko transaksi dalam talian, kurang kefasihan siber (cyber fluency), kelemahan dalam pengurusan kata laluan, ancaman dari orang yang tidak dikenali, serangan pancingan data (phishing) serta privasi dalam talian,” katanya.

Pada majlis sama, Prof. Ts. Dr. Suhaidi yang juga Pengerusi Majlis Profesor UUM turut mengendalikan Forum KITA Siber bertajuk ‘Dunia Digital Murid-murid Sekolah Masa Kini’ bersama panelis jemputan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, CyberSecurity Malaysia, aktivis masyarakat dan wakil guru.