Alumni    •    Vacancy

CABARAN KEKALKAN CGPA UNTUK IJAZAH KELAS PERTAMA

1st classUUM ONLINE: Setiap pelajar mengimpikan untuk menerima ijazah Kelas Pertama di akhir pengajian, begitu juga bagi graduan Sarjana Muda Sains (Matematik Perniagaan), Farah Naquiah Nar Azaman dan graduan Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan, Syahirah Ahmad.

Kedua mereka yang berjaya menamatkan pengajian dengan keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.72 dan 3.73 telah menerima ijazah masing-masing daripada Naib Canselor pada Majlis Konvokesyen Ke-33 di Dewan Mu'adzam Shah.

Farah Naquiah berkata, setiap semester dia berusaha memastikan gred peperiksaan sentiasa 3.0 ke atas dengan mengamalkan beberapa tips belajar sama seperti pelajar lain.

Menurutnya, semasa di dalam kelas, dia akan memberi fokus lebih kepada apa yang diajar pensyarah dan cuba memahami sesuatu subjek tersebut, selain mengambil nota yang diberikan.

"Sekiranya ada konsep yang tidak faham, saya akan bertanya kepada pensyarah atau rakan-rakan dan membuat latihan untuk mengukuhkan lagi kefahaman, selain mengulang kaji, membuat nota ringkas dan menyenaraikan segala tugasan yang perlu disiapkan supaya tidak terlepas pandang terhadap tugasan tersebut.

"Untuk lebih memudahkan pembelajaran, saya tidak belajar sendirian sebaliknya membuat perbincangan secara berkumpulan agar kami dapat bertukar idea dan pendapat tentang pelajaran serta tugasan diberikan," katanya yang kini bekerja sendiri.

Farah berkata, bukan mudah untuk mengekalkan gred kerana ia memerlukan pengorbanan besar terutama dalam aspek masa.

Menurutnya, sokongan dan dorongan keluarga memainkan peranan penting untuk dia terus bersemangat sepanjang tempoh pengajian.

Katanya yang menerima ijazah pada sesi keenam, apabila diri diuji atau berasa tertekan, dia akan segera mencari solusi untuk mengatasinya supaya ia tidak mengganggu tumpuan dalam pembelajaran.

"Bagi saya, dalam setiap perkara yang dilakukan, kita perlu berusaha bersungguh-sungguh, seterusnya berdoa dan bertawakal kepada Allah serta diiringi doa dan restu daripada kedua ibu bapa agar dipermudahkan segala urusan.

"Alhamdulillah juga kerana diberikan peluang untuk konvo tahun ini dan sesungguhnya saya berasa amat teruja dan gementar dalam masa yang sama kerana saya tidak sangka UUM akan mengadakan konvokesyen untuk meraikan graduan 2020," katanya dari Alor Setar.

Sementara itu, Syahirah turut menitipkan pesanan supaya bakal pelajar harus bijak memilih bidang pengajian yang diminati seiring dengan prospek kerjaya yang menjamin peluang pekerjaan dan permintaan tinggi dalam industri.

“Untuk adik-adik yang bakal menyambung pengajian, pilihlah bidang pengajian yang betul-betul diminati supaya kita jadi lebih bersemangat untuk belajar. Inilah antara sebab saya berjaya capai kelas pertama.

“Zaman sekarang majikan amat mementingkan 'soft skills' yang amat membantu dalam berdepan dengan masalah dan mengendalikan alam pekerjaan, CGPA tinggi hanya sampingan sahaja,” kata anak ke-3 dari 7 beradik yang berasal Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Syahirah berkata, dia amat meminati bidang pelancongan yang sesuai dengan jiwanya serta memudahkannya mendapat keputusan cemerlang. 

Menurutnya, semasa pengajian di peringkat diploma juga dia mengambil bidang pelancongan kerana bidang tersebut sesuai dengan dirinya yang suka berjumpa ramai orang, dapat keluar kampus membuat tugasan dan suka aktiviti kemasyarakatan.

Di samping kecemerlangan kurikulum, katanya, bidang kokurikulum tidak dipinggirkan. Dia banyak menyertai aktiviti sepanjang berada di UUM yang mematangkan diri sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan nanti.

"Saya beruntung mengambil bidang pelancongan kerana kebanyakan subjek melibatkan tugasan dalam bentuk lawatan sambil belajar di kawasan pelancongan, selain dapat meneroka banyak negeri bersama pensyarah dan kawan-kawan.

“Alhamdulillah, saya berasa amat gembira dan terharu segala usaha yang dilakukan selama ini sehingga berjaya menggapai ijazah Kelas Pertama. Semua ini adalah berkat doa ibu bapa, keluarga, rakan-rakan dan pensyarah yang tidak pernah putus-putus," katanya yang menerima ijazah pada sesi kelima.