Alumni    •    Vacancy

BURSA MALAYSIA KONGSI KEPENTINGAN ESG UNTUK CAPAI SDG

bursaUUM ONLINE: Bagi mendedahkan peserta memahami tentang perkembangan pelaburan yang mampan dalam dunia akademik dan industri, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan ‘UUM-Bursa Malaysia: A Session with Bursa CEO & Professor Iftekhar’ secara atas talian, baru-baru ini.

Program yang turut mendapat kerjasama Bursa Malaysia itu bertujuan memberi kefahaman kepada warga institusi pengajian tinggi cara kriteria alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) digunakan bagi menilai sikap beretika sesebuah syarikat atau negara dalam memastikan masa hadapan yang lebih mampan.

Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, Malaysia mempunyai keyakinan yang kuat dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan matlamat iklim seperti yang ditegaskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

Menurutnya, RMK Ke-12 mempunyai matlamat dan pencapaian pertumbuhan ekonomi dan transformasi Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang makmur, inklusif dan mampan.

“Untuk merealisasikan wawasan ini, banyak lagi usaha perlu dilakukan untuk mempercepatkan pertumbuhan kewangan mampan di Malaysia dan seluruh rantau ini.

“Selain itu, usaha dalam bidang berkaitan untuk mengukuhkan daya tahan iklim sektor kewangan Malaysia akan memberi manfaat yang saling memperkukuh,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada program tersebut.

Tambahnya lagi, beliau berharap setiap pihak dapat memainkan peranan dalam memastikan semua terus bekerja secara kolektif ke arah mencapai matlamat kemampanan.

Program yang dianjurkan sempena kerjasama antara Bursa Malaysia dengan UUM ini menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad, Datuk Muhamad Umar Swift merangkap Profesor Adjung SEFB dan Profesor Kursi Bursa Malaysia, Prof. Dr. Iftekhar Hasan dari Fordham University, Florida, Amerika Syarikat.

Sementara itu, Muhamad Umar berkata, kriteria alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) adalah penting digunakan bagi menilai tingkah laku beretika sesebuah syarikat atau negara dan kapasitinya yang memberi impak positif terhadap alam sekitar dan komuniti yang secara tidak langsung akan membawa masa hadapan yang lebih mampan dan bertanggungjawab.

Menurutnya, faktor pendorong untuk menggalakkan pematuhan ESG adalah dana pelaburan global utama yang memerlukan syarikat penerima pelaburan bebas daripada risiko ESG.

Sekiranya sesebuah syarikat tidak mengamalkan ESG, syarikat berkenaan pasti akan melihat pangkalan pelabur mereka menyusut atau lebih teruk lagi, tidak layak untuk menyertai dana pelaburan ESG sahaja.

“Syarikat yang mempunyai kriteria ESG lebih cenderung untuk berdaya tahan. Ini dibuktikan dengan hasil kajian dilakukan baru-baru ini yang mencadangkan bahawa perniagaan atau firma dengan penarafan sosial alam sekitar yang tinggi mempunyai pulangan saham yang lebih tinggi dan turun naik saham yang jauh lebih rendah.

“Kurangnya pemahaman terhadap ESG akan menjejaskan kemampanan dan potensi pertumbuhan perniagaan kerana akses terhad kepada modal,” ujarnya.

Sebagai penyandang Profesor Kursi Bursa Malaysia UUM yang baru dilantik, Prof. Dr. Iftekhar telah mengulas bahawa 20 tahun lalu ESG atau kelestarian bukanlah sebahagian daripada amalan perniagaan untuk memaksimumkan keuntungan.

Namun, disebabkan kegagalan korporat dan krisis kewangan seperti gelembung Dot Com pada tahun 2000-an di samping krisis kewangan global telah membawa persekitaran di mana pelabur dan pelanggan mendesak agar persekitaran pelaburan sesuatu syarikat perlu mampan dari segi sosial.

Menurut beliau lagi, wujudnya ESG bukan sahaja kerana ia perkara betul untuk dilakukan malah menjadi langkah untuk membawa perniagaan maju ke hadapan dengan mematuhi pelbagai kepentingan pemegang taruh dalam rangka kerja kemampanan.

“Kemampanan tidak seharusnya dilihat sebagai kos, sebaliknya sebagai pelaburan untuk faedah masa hadapan. Dalam tempoh 40 tahun kebelakangan ini, syarikat Malaysia telah membuat peningkatan yang ketara dalam keseluruhan penarafan ESG.

“Malah Malaysia telah mendahului Indonesia dan Thailand sehingga mampu mengejar Singapura. Namun, satu-satunya keadaan yang Malaysia masih lagi bergelut apabila melibatkan skor alam sekitar, manakala skor sosial dan tadbir urus menunjukkan prestasi yang luar biasa sejak 2007,” ulasnya.

Prof. Dr. Iftekhar dari Universiti Fordham, New York, Amerika Syarikat telah dilantik pada tahun lalu untuk berkongsi kepakaran beliau yang luas dalam bidang kewangan.

Pada tahun ini, UUM dan Bursa Malaysia telah merancang untuk mengadakan beberapa program yang akan dilaksanakan secara bersama seperti Perbincangan Meja Bulat dan Pelaburan Bursa Malaysia-UUM yang merupakan dua acara terbesar selain daripada beberapa seminar dan ceramah mengenai kesedaran kewangan.