Alumni    •    Vacancy

BINA NEGARA BANGSA DENGAN MOTIVASI, KESUNGGUHAN DAN BERINOVASI

pelan kpiUUM ONLINE: "UUM mungkin hanya universiti biasa tetapi istimewanya universiti ini di Utara adalah usaha seluruh warga kampus untuk membina negara bangsa dengan tangan-tangan yang ikhlas," kata Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah ketika merasmikan Bengkel Semakan Akhir KPI Pelan Strategik UUM Tahun 2022 di Dewan Angsana 1, EDC UUM, semalam.

Menurutnya, UUM mungkin bukan Harvard atau sehebat universiti lain yang lebih gah tetapi sekiranya memiliki motivasi yang tinggi, kesungguhan dan sanggup berinovasi jika ingin menjadi seorang pemimpin, tidak mustahil untuk universiti ini suatu hari nanti akan setanding universiti tersebut.

"Kita tidak perlu berasa kerdil kerana kita dilahirkan untuk misi yang cukup jelas iaitu ingin melahirkan seorang pemimpin yang akhirnya dapat mentadbir dunia dan memimpin masyarakat global. Bukan kecil tanggungjawab kita tetapi Insya-Allah, saya yakin dan percaya bahawa kita mampu melakukannya dalam kapasiti kita.

"Pemimpin pertama UUM, Allahyarham Tan Sri Dr. Awang Had Salleh telah menggagaskan idea besar bagaimana untuk membina universiti ini dan pengasas UUM, Tun Dr. Mahathir Mohamad pula menyatakan bahawa masa depan negara bergantung kepada kepimpinan dan pengurus terlatih, maka ditubuhkan universiti ini yang akan memandu agenda-agenda besar," katanya.

Haim Hilman berkata, beliau berharap bengkel yang diadakan ini boleh mengubah hala tuju nasib negara bangsa yang bukan sekadar untuk melengkapkan jumlah IPTA tetapi menjadi sebuah institusi yang dibanggakan oleh semua lapisan masyarakat baik dari pemimpin tertinggi negara hingga masyarakat di luar sana.

Menurutnya, bina dalam diri masing-masing bahawa pensyarah universiti ini bukan sekadar bertanggungjawab untuk memberi kuliah tetapi ingin membina anak bangsa. Tanamkan kesungguhan itu kerana apa yang diusahakan kini akan ditinggalkan kepada generasi masa hadapan.

"Insya-Allah, kita akan berusaha ke arah itu dan memastikan UUM dapat menzahirkan apa yang diimpikan oleh barisan kepimpinan terdahulu dan seterusnya memenuhi impian kepimpinan di masa hadapan.

"Kita akan duduk bersama, berdiri bersama dan selami agenda bersama-sama agar dapat menyaksikan UUM mengorak langkah kejayaan demi kejayaan dan kita akan menjadi sebahagian daripada cerita-cerita kejayaan itu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perancangan Korporat (BPK), Prof. Madya Dr. Mazni Omar berkata, bengkel selama sehari itu adalah untuk membuat semakan akhir sebelum memuktamadkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan Petunjuk Prestasi (PI) Pelan Strategik 2022.

Menurutnya, beliau berharap apa yang telah dijayakan untuk merealisasikan Pelan Strategik itu dapat menterjemahkan apa yang universiti ini bawa seiring dengan visi, misi dan moto UUM.

Di samping itu, tambahnya, bengkel yang diadakan itu juga diharapkan berjalan lancar dan akan mencapai objektif.

Pada sesi itu, Dr. Mazni turut memberikan taklimat tentang proses kerja yang telah bermula sejak Februari seperti membuat 'revision' atau ulang kaji tentang KPI/PI termasuk penganjuran bengkel mengikut enam teras.

Bengkel dimulakan dengan semakan KPI Pelan Strategik dan semakan sesi 1: PI mengikut Teras Strategik, manakala sebelah petang, sambungan sesi 2: PI mengikut Teras Strategik, diikuti rumusan oleh Naib Canselor dan Pengarah BPK.