Alumni    •    Vacancy

BGS UUM CHAPTER RANGKUL ANUGERAH PENGHARGAAN KHAS KETUA PENGARAH PENDIDIKAN TINGGI

BGS anugerahUUM ONLINE: Beta Gamma Sigma (BGS) UUM Chapter sekali lagi mengharumkan nama Universiti Utara Malaysia (UUM) apabila menerima Anugerah Penghargaan Khas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Kategori Kumpulan pada Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2020 anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang berlangsung secara maya, baru-baru ini.

Anugerah ini diberikan sempena kejayaan BGS Chapter UUM memenangi Outstanding Chapter Award 2019 - Best Practices In Leadership pada Persidangan AACSB International Conference Annual Meeting (ICAM) di Edinburgh, Scotland pada 2019. 

Kejayaan ini turut disusuli dengan beberapa anugerah lain yang dicapai oleh BGS UUM Chapter seperti Highest Honour Chapter 2019/2020, Highest Honour Chapter 2020/2021 dan Outstanding Chapter Award 2021 – Best Practices in Creating Connections, baru-baru ini.

Penyelaras BGS UUM Chapter, Dr. Mazrah Malek menzahirkan kegembiraan atas anugerah peringkat kebangsaan ini dan berharap agar kejayaan itu akan menjadi pemangkin bagi ahli BGS UUM Chapter untuk mencapai lebih banyak kecemerlangan lagi pada masa hadapan.

Selain daripada BGS UUM Chapter, enam lagi pasukan lain telah terpilih untuk memenangi Anugerah Penghargaan Khas Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi ini iaitu Pasukan IOT Detachable Waterway Monitoring Devices With Lora And Sustainability, Pasukan Debat Bahasa Arab Al-Muthla, Pasukan Debat IIUM A, Pasukan Swinburne Sarawak Institution Of Engineering And Technology On Campus (SSIET), Team Inovasi UPSI dan Pasukan UTP Performing Arts Group (UPAG).