Alumni    •    Vacancy

AUDIT PENARAFAN SETARA 2022 ZON UTARA SELESAI

audit selesaiUUM ONLINE: Hasil pengauditan penarafan SETARA bagi Universiti Utara Malaysia (UUM) memperlihatkan perkembangan positif apabila mendapat maklum balas yang agak memberangsangkan daripada juruaudit yang melaksanakan audit tersebut di universiti ini bermula semalam.

Ketua Auditor SETARA Zon Utara, Prof. Ir. Ts Dr. Vinesh Thiruchelvam semasa membuat ulasan audit di Mesyuarat Penutupan Audit Penilaian Penarafan SETARA 2022 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Senat, pagi tadi menyatakan rasa puas hati atas kerjasama yang diberi sehingga memudahkan proses pengauditan.

“Kami amat berpuas hati dengan kerjasama diberi oleh tim universiti ini kerana semua pihak membantu memastikan data dan dokumen yang diminta dapat diberi dengan pantas.

“Disebabkan ini, tugas-tugas pengauditan dapat berjalan dengan pantas dan hasilnya proses audit dapat diselesaikan lebih awal,” ulas beliau lagi.

Menurutnya lagi, segala dapatan dan laporan audit akan diserahkan kepada Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) untuk proses seterusnya dan dijangka keputusan audit dapat diketahui dalam bulan Oktober nanti.

Sementara itu, dalam ucapan pembukaan, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Shahimi Mohtar menyatakan komitmen UUM untuk menambah baik sebarang kelemahan yang ditemui semasa audit dan akan sentiasa terbuka dengan semua teguran dan cadangan yang diberi.

Shahimi yang mewakili Naib Canselor turut berterima kasih kepada semua juruaudit terlibat atas komitmen.

Audit Penarafan SETARA membuat penilaian terhadap institusi pengajian tinggi (IPT) yang berusia lima tahun ke atas.

UUM yang dipilih menjadi hos Zon Utara pada tahun ini dikategorikan dalam 'mature university' bagi kategori universiti melebihi usia 16 tahun.

SETARA 2017 memperlihatkan pencapaian terbaik bagi UUM apabila mendapat penarafan lima bintang yang berjaya dikekalkan bagi tahun penarafan 2018/2019.

Selain UUM, IPT Zon Utara lain yang terlibat dalam penarafan SETARA tahun ini Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Albukhary International University (AIU), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan AIMST University.