Alumni    •    Vacancy

ATLET GOLF UUM TERSENARAI DALAM PEMILIHAN WAKIL MALAYSIA KE SUKAN ASIA DI CHINA

atlet golf malaysiaUUM ONLINE: Impian untuk mewakili negara ke acara antarabangsa semestinya dinanti-nantikan bagi setiap atlet sukan.

Begitu juga atlet golf Akademi Golf Nasional Universiti Utara Malaysia (AGNUUM), Muhammad Ikhmal Basry apabila namanya tersenarai dalam pemilihan skuad golf Malaysia oleh Malaysian Golf Association (MGA) bagi membawa cabaran Malaysia pada Sukan Asia Ke-19 di Hangzou, China yang akan berlangsung pada 10 hingga 25 September nanti.

Muhammad Ikhmal berkata, pemilihan tersebut menjadi impian yang tidak mungkin akan dilepaskan sesiapa termasuk dirinya.

Menurutnya, sekiranya terpilih untuk mewakili negara dalam temasya sukan kedua terbesar selepas Olimpik itu pasti akan menjadi titik permulaan terbaik bagi kerjayanya sebagai seorang atlet golf dan sudah pasti dia memasang impian untuk menyumbang pingat buat negara.

“Saya perlu berkerja lebih keras lagi bagi memastikan nama dalam skuad kebangsaan ke Sukan Asia Ke-19 Hangzhou nanti terjamin.

“Saya juga berharap pemilihan ini akan turut memberi semangat kepada pelatih AGNUUM yang lain untuk terus berusaha gigih dan tidak mudah berputus asa dalam mengejar impian untuk berada di puncak dunia,” katanya.

Sementara itu, Pengarah AGNUUM, Prof. Madya Dr. Azman Yasin berkata, UUM berbangga kerana Muhammad Ikhmal termasuk dalam senarai pemilihan skuad kebangsaan bagi mewakili negara ke pertandingan antarabangsa itu.

Beliau turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada barisan jurulatih, pengurusan AGNUUM, pengurusan tertinggi UUM serta Seksyen Sukan, Kementerian Pengajian Tinggi yang terus memberi sokongan dan kepercayaan kepada atlet golf AGNUUM.