Alumni    •    Vacancy

AQIL AFIQ JUARA GOLF REMAJA KEDAH

aqil golfUUM ONLINE: Sungai Petani - Kekuatan mental luar biasa yang ditunjukkan oleh pelatih Akademi Golf Nasional UUM (AGNUUM), Aqil Afiq Rosli pada saingan akhir golf Sirkit Golf Remaja Kedah (SGRK) ternyata membuahkan hasil apabila berjaya merangkul kejuaraan bagi Kategori Lelaki U21b yang berlangsung pada 15 hingga 17 Mac lalu di Permaipura Golf & Country Club, Bedong.

Pemain berusia 21 tahun itu telah menampilkan aksi konsisten apabila berjaya mencatatkan 71,75,71 (1 di atas par), cemerlang mengatasi saingan hebat peserta lain termasuk dari rakan sepelatih iaitu Muhammad Farez Mohd Azihan dengan catatan 72,72,74 (2 di atas par) serta Muhammad Muadz Nazir yang menduduki tempat ke-3 dengan catatan 78,71,70 (3 di atas par).

Aqil Afiq berkata, dia berasa gembira dan bersyukur di atas kejayaan merangkul kejuaraan tersebut.

“Saya amat berterima kasih kepada pihak universiti termasuk Pengarah AGNUUM, Prof. Madya Dr. Azman Yasin, pengurusan AGNUUM, jurulatih Pro, Wan Rosni Wan Chik dan juga kedua ibu bapa saya yang banyak menyokong saya sehingga mencapai kejayaan ini.

“Diharap kejayaan ini akan menjadi ‘turning point’ untuk saya dan rakan-rakan atlet lain berusaha lebih kuat lagi bagi memperolehi kejayaan yang lebih cemerlang pada masa akan datang,” katanya.

Mengulas kedudukan tersebut Pengarah AGNUUM, Prof. Madya. Dr. Azman berkata, kerja keras yang berterusan akan membuahkan hasil dan semangat juang yang tinggi serta tidak mudah berputus asa akan menghasilkan kejayaan seperti yang diharapkan.

Disamping itu, kejayaan pelatih AGNUUM ini juga memberi petanda yang positif untuk merangkul lebih banyak kejuaraan dalam saingan golf amatur kebangsaan serta membuka peluang untuk terpilih mewakili negara dalam sukan peringkat antarabangsa antaranya Sukan SEA 2022 di Hanoi dan Sukan Asia di Hangzhou, China September nanti.

Pasukan AGNUUM juga diwakili oleh Muhammad Luqman (ke-4), Mohammad Haziq Zamani (ke-6), Muhammad Kall Danish (ke-7), Muhammad Afiq Badrul Hisham (ke-10), Muhammad Fikry Mohd Agmeer (ke-11), Muhammad Emmer Isfahan (ke-14) dan Wan Muhammad Amirul Afiq (ke-16) serta Charlayne Chong Shi Ling, Valerie Vanessa Langkab dan Nur Aneesha Aqilah.