Alumni    •    Vacancy

47 AHLI PARLIMEN MAHASISWA UUM BERSIDANG KALI PERTAMA

parlimen mahasiswaUUM ONLINE: Seramai 47 mahasiswa terdiri daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa (JKPS) Inapan Siswa (Inasis) dan Presiden badan-badan pelajar menyertai Persidangan Parlimen Mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) buat pertama kalinya.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah yang merasmikannya berharap persidangan ini akan menjadi medan untuk pemimpin masa depan negara mengasah bakat kepimpinan bagi mendengar dan menyampaikan hasrat rakan-rakan mereka di kampus ini.

“Kita berharap pemikir-pemikir ini yang mana di sanubarinya sentiasa tersemat usaha dan daya membela memastikan siapa juga yang memerlukan pembelaan akan terbela melalui perbahasan yang akan disertai nanti,” kata beliau ketika merasmikan Persidangan Kali Pertama pagi tadi.

Haim Hilman menambah detik bersejarah ini walaupun pernah tertangguh sebelum ini namun suara pelajar tetap terbela melalui wakil-wakil dari MPP, JKPS dan badan-badan pelajar lain.

Melalui persidangan ini beliau mengharapkan wakil-wakil pembahas akan menggunakan platform ini dengan beradab dan mengikut peraturan yang telah digubal.

Naib Canselor juga yakin medan ini akan menjadi tapak kepada pembinaan karakter, bakat dan kemahiran pemimpin pelajar yang menyeluruh dan dinamik disebabkan asas parlimen adalah himpunan pelbagai peringkat kepimpinan badan pelajar.

Oleh demikian, usaha menyebar luas pemikiran mahasiswa akan dibentuk melalui platform ini.

Sementara itu, speaker pertama Parlimen Mahasiswa UUM, Muhammad Haikal Hazwan Md. Yatin berharap semua pembahas mengikut etika yang telah ditetapkan.

“Saya juga telah menyemak isu-isu yang akan dibawa dan telah memaklumkan kepada pembahas supaya merujuk kepada peraturan yang telah diedarkan semasa membahaskan nanti,” ujar beliau ketika ditemui.

Persidangan Parlimen Mahasiswa UUM ini diharap menjadi titik pencetus kepada usaha membina pemikiran pelajar yang lebih kritis, analitik dan lebih cakna kepada perkembangan persekitaran mereka selari dengan hasrat universiti untuk melahirkan pemimpin pelajar yang berdiri di atas kebenaran melalui fakta serta analisa yang ilmiah.

Turut hadir di majlis perasmian ini ialah Dekan Hal Ehwal Pelajar, Dr. Kamarul Azman Khamis, Pengurus Bahagian Pembangunan Pelajar, Roslee Mardan dan Pengerusi Sekretariat Parlimen Mahasiswa UUM, Hazman Salamy Abdul Halim.