Alumni    •    Vacancy

38 TAHUN UUM MELAKAR MASA DEPAN GEMILANG

amanat vcUUM ONLINE: Menelusuri usia penubuhan 38 tahun Universiti Utara Malaysia (UUM), warga universiti diseru untuk bersama-sama melakar masa depan dalam merealisasikan hala tuju UUM.

Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah dalam amanat beliau sempena Majlis Sambutan Hari Pengasasan UUM Ke-38 berkata, warga kampus harus bangun dan bangkit membina ibunda, UUM agar dapat menjadi menara gading yang menjadi sebutan oleh generasi akan datang.

Sehubungan itu, bagi memastikan masa depan UUM yang gemilang, menurutnya, beliau telah menetapkan pelan hala tuju bagi tempoh 2022 sehingga 2035 mengikut tiga fasa.

Katanya, bagi fasa 3 yang bermula tahun ini sehingga 2025, universiti akan memfokuskan dalam pemerkasaan, antaranya penjanaan pendapatan dalaman antara RM100 ke RM200 juta, disenaraikan dalam Top 300 dunia, Top 50 Asia dan Top 5 Malaysia, peningkatan bilangan pelajar pascasiswazah sebanyak 30 peratus, melahirkan 20 peratus usahawan pelajar serta meningkatkan sasaran Indeks Kesejahteraan.

"Kemudian, memasuki fasa 4 (2026-2030), kita akan mengukuhkan lagi hala tuju universiti dengan meningkatkan kedudukan UUM di peringkat dunia, Asia dan Malaysia, meningkatkan janaan dalaman mencecah RM400 juta, 50 peratus bilangan pelajar pascasiswazah, 30 peratus usahawan pelajar dan meningkatkan Indeks Kesejahteraan kepada 5 bintang.

"Akhir sekali, fasa 5 (2031-2035) yang mana kita akan mengekalkan kesinambungan usaha-usaha yang telah dicapai dalam fasa-fasa sebelum ini seperti meletakkan UUM dalam kedudukan Top 100 dunia, Top 10 Asia dan Top 2 di Malaysia, malah kita juga akan melahirkan lebih 40 peratus usahawan pelajar, bilangan pelajar pascasiswazah meningkat sehingga 60 peratus, penjanaan pendapatan sebanyak RM400 hingga RM600 juta dan pencapaian sasaran Indeks Kesejahteraan lebih 5 bintang," katanya di Dewan Mu’adzam Shah, pagi tadi.

Beliau berkata, hala tuju yang ditetapkan itu bukan angan-angan tetapi seharusnya seluruh warga universiti berusaha untuk menjadikan ia sebagai satu kenyataan kerana beliau percaya hanya menerusi pendidikan yang boleh mengubah nasib generasi hadapan dengan usaha-usaha yang dilakukan itu.

Menurutnya, warga universiti pada hari ini perlu menjadi sebahagian cerita kegemilangan UUM dengan mengangkat atau menjulang nama universiti sehingga ke peringkat lebih tinggi dan terus dikenang anak-anak akan datang.

Katanya, beliau mahu UUM melahirkan individu yang terpelajar dan berjaya mengeluarkan pelajar dari kepompong kemiskinan, justeru sama-samalah berusaha memberikan yang terbaik untuk anak bangsa dan negara.

"Saya juga berharap semua rakan pensyarah dapat memberi jiwa dan raga bukan hanya untuk kejayaan sebagai individu sehingga bergelar profesor tetapi benar-benar menjadi profesor rakyat dan menjadi guru yang mendidik anak-anak di dewan kuliah. Pada masa sama menjadi pemimpin masyarakat dengan menyantuni mereka menerusi kajian yang didambakan sekian lama yang akhirnya membantu memberi sinar baharu kepada masyarakat di luar sana.

"Selain itu, saya mengharapkan kita dapat menyantuni seramai mungkin masyarakat khususnya di negeri Kedah agar isu-isu yang membelenggu masyarakat hari ini dapat dirungkai dan diperhalusi, seterusnya diberi penyelesaikan terbaik. Saya mahu pensyarah UUM bukan sahaja hebat dalam penerbitannya atau dikenali seantero dunia kerana artikelnya tetapi dekat di hati rakyat negaranya kerana sumbangan yang diberikan," katanya.

Pada majlis tersebut, Prof. Dr. Haim Hilman juga berkongsi tentang pembangunan, pemerkasaan dan inisiatif yang dilakukan UUM melibatkan alumni, sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP), sumber manusia, pemerkasaan Jabatan Pendaftar, penyelidikan dan perundingan, penerbitan, pengkomersialan, komuniti dan industri, dana akreditasi, ranking, pengambilan pelajar antarabangsa, program kerohanian dan keusahawanan pelajar.

Di samping itu, beliau turut menerangkan tentang sumber dalaman universiti yang memerlukan pemerkasaan seperti Jabatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan (BSD) dan beberapa unit, bahagian dan pusat tanggungjawab terlibat, selain cadangan pembangunan UUM seperti membangunkan semula Taman Siswa, Dataran Siswa dan taman industri.

Kemudian, diadakan penyempurnaan gimik akreditasi semula AACSB, penyampaian trofi Times Higher Education (THE) Awards Asia 2021 Kategori THE DataPoints Improved Performance Awards dan sijil akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi 35 program akademik UUM.

Menutup sambutan Hari Pengasasan UUM Ke-38 dan Amanat Naib Canselor, seluruh warga universiti telah bersama-sama menyertai bacaan Yassin yang dipimpin oleh Mohd Firdaus Ahmat dari Pusat Islam.