Alumni    •    Vacancy

31 PESERTA KURSUS MEDIASI UUM BAKAL DIANUGERAHKAN SIJIL MEDIATOR

moot solUUM ONLINE: Sintok – Seramai 31 peserta kursus perundingan penyelesaian pertikaian ADR (Alternative Dispute Resolution) melalui mediasi bakal menerima Sijil Pengantara (Mediator) yang dikeluarkan oleh The Accord Group, Sydney, Australia.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, kursus julung kali yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Undang-undang dengan kerjasama perunding yang ditauliahkan dari The Accord Group, Sydney, Australia iaitu ZRTA Group Sdn. Bhd. ini adalah di bawah tajaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui Geran PENJANA-KPT PACE atau Profesional Certification yang mula diperkenalkan pada tahun 2019.

“Kursus yang dianjurkan selama lima hari ini yang dikendalikan oleh Jurulatih dan Perunding yang diketuai oleh tokoh dalam bidang perundangan Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar bersama-sama jurulatih dan Perunding yang terlatih pastinya memberi  manfaat kepada pelajar dan graduan UUM ini,” ujarnya ketika berucap merasmikan Mediation Process and Skills Course Programme di Mahkamah Mut, Bangunan UUM COLGIS.

Di majlis itu, beliau turut melahirkan rasa bangga dan gembira dengan inisiatif dari pusat pengajian dalam memastikan graduan mereka tidak hanya dilengkapi dengan ijazah akademik, malah peserta yang terlibat dengan kursus ini juga akan mendapat Sijil Mediator yang menjadi nilai tambah tersendiri kepada graduan untuk kekal berdaya saing dan memenuhi kehendak industri.

Dengan sijil pengantara ini pastinya dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan sama ada di dalam organisasi, firma yang sedia ada atau pun menubuhkan firma sendiri dalam mencipta peluang kerjaya kepada pihak lain dan memenuhi hasrat universiti untuk melahirkan graduan yang berketerampilan serta boleh memberikan manfaat kepada masyarakat selaras dengan moto UUM iaitu ILMU BUDI BAKTI. 

Dalam pada itu, Ketua Perunding ZRTA, Dato’ Zainul Rijal ketika ditemui berkata, kursus Mediatasi selama 40 jam yang diiktiraf diperingkat antarabangsa ini memberi penekanan dalam aspek kemahiran dan skil untuk menjadi Mediator.

Katanya, dengan kelulusan dalam bidang ini memberi peluang kepada graduan-graduan Mediasi selain daripada menjadi peguam mereka juga boleh menjadi Mediator.

“Kini peluang untuk mereka lebih luas bukan sahaja menjadi peguam atau hakim malah boleh menjadi Mediator,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Undang-undang, Prof. Madya Dr. Yusramizza Md Isa @ Yusuff dalam ucapan aluannya berharap peserta kursus ini dapat membantu masyarakat untuk menyelesaikan masalah, perselisihan dan pertikaian di kalangan ahli keluarga, kejiranan mahupun organisasi nanti.

Katanya dalam litigasi di mahkamah merupakan pendekatan tradisi dalam menyelesaikan sesuatu pertikaian namun dalam masyarakat moden hari ini pendekatan penyelesaian pertikaian secara alternatif (ADR) sering digunakan oleh pihak yang bertikai untuk menyelesaikan masalah mereka secara cepat dengan kos yang efektif.

Beliau menambah, pendekatan Mediasi ini diharap dapat membantu pihak–pihak yang bertikai mencapai persefahaman dan mengambil tanggungjawab untuk melaksanakan perjanjian yang dipersetujui tanpa menzalimi mana-mana pihak nanti.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah UUM Puan Nazira Abdul Rahim dan Penolong Naib Canselor UUM COLGIS merangkap Pengarah Pejabat Pengurusan Risiko UUM, Prof. Dr. Nuarrual Hilal Md. Dahlan.