Alumni    •    Vacancy

30 PELAJAR UUM TERIMA KOMPUTER RIBA SUMBANGAN LEMBAGA TABUNG HAJI

laptop hepUUM ONLINE: Seramai 30 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima komputer riba (laptop) sumbangan Lembaga Tabung Haji (LTH) pada Majlis Penyerahan Komputer Riba: Program Iqra’ 2020 di Dewan Serba guna Pusat Penginapan Pelajar (SAC), baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Hendrik Lamsali berkata, pihak universiti dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) sentiasa peka dan mengamalkan ‘pintu terbuka’ untuk mendengar suara pelajar secara lebih dekat bagi membantu mereka yang menghadapi masalah khususnya dalam pembelajaran.

Menurutnya, menerusi Program Iqra’ 2020 itu seramai 30 pelajar dari golongan asnaf terpilih diberikan ‘laptop’ secara fizikal untuk memudahkan mereka meneruskan sesi pembelajaran.

Katanya, terdahulu sebanyak 243 baucar berjumlah RM1,800 telah disalurkan kepada pelajar asnaf untuk membeli komputer riba.

“Saya kagum di atas usaha JHEP dan Bahagian Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar (SSSD) yang telah bertungkus-lumus berusaha membantu pelajar melalui sumbangan pihak penajaan bagi mendapatkan komputer riba ini.

“Ini adalah satu usaha murni yang tidak dapat dilupakan dan wajar menjadi teladan kepada semua agar sentiasa menitikberat kebajikan dan kesusahan golongan yang memerlukan,” katanya.

Sementara itu, Dekan Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Massudi Mahmuddin berkata, HEP UUM telah berjaya mencapai objektif Projek ‘Laptop 4U’ dan seramai 200 penerima terdahulu telah menikmati manfaat komputer riba hasil usaha Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni bersama rakan strategik HEPA.

Menurutnya, pihaknya terpanggil untuk membantu pelajar yang memerlukan terutama sejak penularan pandemik Covid-19 yang memaksa mereka meneruskan pengajian secara atas talian sepenuhnya.

Katanya, tanpa bantuan alat peranti itu, sudah pasti pelajar tidak dapat meneruskan sesi pembelajaran dengan sempurna.

“JHEP sangat peka dengan masalah pelajar asnaf sama ada yang berada di dalam bandar atau luar bandar secara khususnya, mereka perlu diberi perhatian dan sokongan dari sudut emosi dan fizikal sekiranya diperlukan.

“Kita sedia untuk membantu pelajar-pelajar ini dan akan memastikan tiada yang tercicir mengejar ilmu meskipun dalam serba kekurangan kerana keutamaan universiti adalah memastikan kebajikan pelajar sentiasa dijaga,” katanya.

#WeHelp #WeShare #WeCare

#KesejahteraanKebajikan