PELAJAR SOIS DIPILIH FELO KORPORAT PRASARANA

felo korporatUUM ONLINE: Bakat dimiliki pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) tidak perlu disangkalkan dan ia terbukti dengan pemilihan mereka sebagai Felo Perdana dan Felo Korporat anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS), baru-baru ini.

Selain empat pelajar yang dipilih sebagai Felo Perdana di Pejabat Perdana Menteri dan beberapa kementerian, seorang lagi pelajar UUM turut dipilih menjadi Felo Korporat kepada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad.

Pelajar Semester 2, Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa, Amiruddin Muhammad dari Pusat Pengajian Antarabangsa itu ditempatkan di bawah seliaan Ketua Komunikasi Rapid Rail Sdn. Bhd.

Amiruddin berkata, dia menerima tawaran sebagai Felo Korporat 2022 di Prasarana Malaysia pada 13 Julai lalu.

Menurutnya, dia teruja apabila permohonan menyertai program anjuran KBS itu berjaya dan ia merupakan satu peluang emas untuk meluaskan jaringan di peringkat industri.

"Terpilih dan menjadi satu-satunya pelajar UUM dalam Program Felo Korporat bagi 'batch' ke-4 ini adalah pencapaian terbaik bagi diri saya sebagai sebahagian daripada program Felo Korporat yang bermula pada 2019.

"Peluang ini merupakan satu pemangkin semangat kepada saya untuk belajar 'hands-on managements daily to daily basis' dan saya percaya penglibatan ini juga dapat mengharumkan nama universiti dalam sektor industri tempatan," katanya yang akan mengikuti program tersebut bagi tempoh tiga bulan bermula 25 Julai.

Tambah Amiruddin lagi, dia sangat bersyukur atas peluang yang dikurniakan Allah, di samping dapat memanfaatkan cuti panjang pengajian.

Ujarnya, dia berharap pemilihannya itu dapat membangkitkan semangat juang dan seterusnya mencungkil potensi pelajar lain yang masih melanjutkan pelajaran di UUM.

Dengan tema Hari Belia Negara (HBN) 2022 iaitu ‘Ini Masa Kita’, seramai lima pelajar UUM berjaya menempa nama dalam program kali ini yang merupakan 'batch' ke-10 merangkumi empat Felo Perdana dan seorang Felo Korporat.