UUM KEKAL PILIHAN UTAMA PELAJAR NEGARA JIRAN

uum pilihan indonesiaUUM ONLINE: Jakarta, Indonesia, 25 Julai 2022 –Bagi memastikan Universiti Utara Malaysia (UUM) kekal antara institusi pengajian tinggi pilihan pelajar luar negara, pelbagai cara dibuat bagi meningkatkan jumlah pelajar antarabangsa di universiti ini.

Antaranya adalah dengan membuat beberapa kunjungan ke kementerian dan sekolah di republik berkenaan seperti Kementerian Agama Republik Indonesia (KEMENAG) dan Sekolah Menengah Atas Islam Al Azhar 1  di Jakarta.

Kunjungan delegasi UUM ke KEMENAG yang diketuai Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah disambut Direktur Jenderal Pendidikan Islam, Prof. Dr. Muhammad Ali Ramdhani.

Dalam lawatan berkenaan, KEMENAG memaklumkan bahawa mereka menawarkan 1,000 biasiswa kepada pelajar Indonesia yang ingin melanjutkan pengajian ke luar negara yang secara tidak langsung membuka peluang kepada UUM untuk merebut peluang berkenaan.

Selain KEMENAG, delegasi UUM turut membuat lawatan ke Badan Akreditasi Nasional Perguruan Tinggi Indonesia yang disambut oleh Prof. Dr. Ir. Ari Purbayanto bagi membincangkan kerjasama untuk meneliti syarat-syarat penawaran program universiti ini ke negara jiran tersebut.

Lawatan diteruskan ke Sekolah Menengah Atas Islam Al Azhar 1 bagi tujuan mempromosikan program pengajian dan kelebihan UUM kepada pelajar sekolah tersebut agar memilih universiti sekiranya ingin melanjutkan pengajian ke luar negara.

Usaha Haim Hilman itu disambut baik Ketua Sekolah, Udin Syamsudin dan pelajar sekolah tersebut.

Pada pertemuan itu, Haim Hilman turut memberikan taklimat ringkas tentang UUM termasuk pencapaian yang diperoleh.