PROGRAM KOMUNITI MAMPAN BALING-IBS UUM DEKATI MASYARAKAT LUAR BANDAR

WhatsApp Image 2022 07 18 at 9.24.33 AMUUM ONLINE: Baling - Seramai 60 pelajar dari Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) telah menyertai program bersama komuniti di Mukim Bakai selama dua hari pada 30 Jun hingga 2 Julai lalu.

Program Komuniti Mampan Baling-IBS UUM itu melibatkan 15 keluarga dari Kampung Seratus dan Ladang Pelam yang menjadikan pelajar UUM sebagai anak angkat mereka.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang program berlangsung seperti gotong-royong, Program Celik Kewangan bersama pelajar Tahap 2 Sekolah Kebangsaan (SK) Malau, sukan rakyat, penanaman pokok, forum perdana, festival kewangan Islam dan kenduri rakyat.

Pengarah program, Dr. Noriza Abd Aziz berkata, faedah program ini bersifat dua hala yang mana bukan sahaja penduduk setempat dan warga sekolah memperoleh ilmu pengetahuan, malahan pelajar dan pensyarah juga dapat meningkatkan kemahiran komunikasi dan pindahan ilmu serta mendapat peluang untuk melibatkan diri secara aktif dengan komuniti.

Menurutnya, menerusi aktiviti Komuniti Mampan seperti program Celik Kewangan dan Festival Kewangan Islam, pihak IBS menerapkan elemen pendidikan kepada guru dan pelajar secara langsung dan manfaat ini juga dikongsi dalam kalangan komuniti setempat dengan mengintegrasikan pengetahuan, kepimpinan, kemahiran dan nilai-nilai murni. 

Di samping itu, katanya, aktiviti gotong-royong, sukan rakyat dan kenduri rakyat yang diadakan juga menjadi titi penghubung silaturahim yang erat antara warga IBS dengan penduduk setempat.

“Seterusnya, melalui SDG15, matlamat pembangunan mapan diterapkan melalui aktiviti penanaman pokok kelapa di kawasan sekitar SK Malau dengan harapan dapat kesedaran berkenaan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar yang memerlukan kerjasama, perubahan sikap dan penglibatan masyarakat untuk memastikan alam sekitar tetap terpelihara,” katanya.

Kehadiran Dekan IBS, Prof. Dr. Rosylin Mohd Yusof turut memeriahkan program dan beliau berharap agar program komuniti ini dapat diteruskan lagi di masa akan datang.

Majlis penutupan Program Komuniti Mampan Baling-IBS ini telah dirasmikan oleh Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil,  Mansor Zakaria dan turut dihadiri oleh Timbalan Dekan Akademi IBS, Dr. Zairy Zainol.

Program Komuniti Mampan ini juga turut mendapat kerjasama penuh daripada Pejabat Tanah dan Daerah Baling, Kuala Lumpur Kepong (KLK) dan SK Malau.