KUMPULAN PENYELIDIK UUM JALANI LATIHAN UNDANG-UNDANG PERUBAHAN IKLIM DI UNIVERSITY OF GIRONA

solUUM ONLINE: Sepanyol – Sepasukan penyelidik Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengikuti latihan dan penyelarasan peringkat antarabangsa bagi membangunkan kurikulum baharu untuk program Sarjana Undang-undang dan polisi perubahan iklim di Fakulti Undang-undang, University of Girona, Catalonia.

Kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Haslinda Mohd Anuar dari Pusat Pengajian Undang-undang (SOL) bersama Prof. Madya Dr. Harlida Abdul Wahab dan Prof Madya Dr. Ani Munirah Mohamad (Pusat Pengajian Undang-undang); Dr. Wan Norhayati Wan Ahmad (Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz) dan Dr. Mohamad Farhan Mohamad Mohsin dari Pusat Pengajian Pengkomputeran menyertai latihan tersebut selama lapan hari bermula 30 Mei lalu.

Haslinda berkata, latihan yang disertai mereka dipenuhi dengan sesi perkongsian, diskusi, pembentangan dan lawatan yang berkaitan isu alam sekitar dan perubahan iklim, inovasi pengajaran dan pembelajaran, struktur kurikulum pascasiswazah dan aktiviti-aktiviti kemanusiaan berhubung perubahan iklim.

“Latihan ini banyak membantu kami lebih memahami situasi kurikulum dan amalan pengajaran dan pembelajaran di Eropah dan universiti lain di Asia.

“Syukur kami diberikan peluang ini untuk bersama-sama berganding bahu dengan universiti lain di peringkat antarabangsa untuk membangunkan dan memperkenalkan satu program sarjana baharu di UUM yang memfokuskan undang-undang dan polisi perubahan iklim,” katanya.

Tambah beliau, latihan tersebut merupakan sebahagian daripada program di bawah geran penyelidikan yang dibiayai oleh Erasmus+ Programme of the European Union untuk tempoh tiga (3) tahun bermula dari Januari 2021 hingga Januari 2024.

Sementara itu, Dekan SOL, Prof. Madya Dr. Yusramizza Md Isa @ Yusuff berkata, perubahan iklim adalah satu isu yang semakin meruncing dan berlaku di seluruh dunia.

Justeru, menurutnya, langkah awal sewajarnya diambil untuk mengurus dan menangani isu ini daripada berterusan menjadi semakin serius.

Katanya, kajian yang dijalankan oleh kumpulan penyelidik diketuai oleh Dr. Haslinda adalah signifikan untuk membangunkan dan mewujudkan satu program Sarjana Undang-undang dan polisi perubahan iklim di UUM.

“Saya percaya program ini akan memberikan sumbangan yang besar kepada negara secara khusus dan kepada dunia secara umum,” ujarnya.

Turut serta penyelidik dari lima universiti lain dari Asia iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Malaysia; Hanoi Law University dan Hue University di Vietnam serta Marwadi University dan Symbiosis Law University di India, manakala Eropah diwakili oleh University of Girona, Sepanyol dan European Knowledge Spot (EKS), Greece.