134 PELAJAR B40 TERIMA MANFAAT KOMPUTER RIBA FWD TAKAFUL

fwd laptopUUM ONLINE: Seramai 134 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) dari golongan B40 menerima sumbangan komputer riba FWD Takaful Berhad di Dewan Sri Angsana, EDC UUM, semalam.

Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, UUM amat berbesar hati menerima penajaan komputer riba daripada FWD Takaful bernilai hampir RM400,000 yang akan memberi manfaat kepada pelajar dari 17 pusat pengajian di universiti ini.

Menurutnya, UUM sentiasa komited dalam membantu meningkatkan prestasi pelajar terutama dari keluarga berpendapatan rendah agar mereka mendapat perkhidmatan terbaik semasa menuntut di bumi Sintok ini.

Beliau yakin ilmu yang diperoleh di UUM ini nanti dapat mengubah nasib kehidupan keluarga mereka yang terdiri dari pelbagai latar belakang seperti keluarga nelayan, petani dan penoreh getah.

"UUM bukan sahaja tempat melahirkan pelajar cemerlang akademik tetapi mereka yang berakhlak mulia, justeru belajarlah bersungguh-sungguh agar FWD Takaful berasa bangga dengan kejayaan pelajar yang menerima sumbangan komputer riba ini.

"Manfaatkan pemberian ini dan yang penting sekali adalah berusaha menjadi insan yang akan kembali untuk membantu orang lain yang memerlukan apabila berjaya kelak," katanya pada Majlis Penyerahan Komputer Riba FWD Takaful Berhad Kepada Pelajar B40 UUM.

Tambah Haim Hilman, komitmen FWD Takaful dalam memperjuangkan nasib golongan B40 bersama UUM bukan sesuatu yang baharu kerana kedua pihak telah mula bekerjasama sejak 2019 menerusi Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) dengan menjalankan penyelidikan bagi membangunkan skim mikrotakaful untuk B40 menerusi produk FWD Kasih.

Menurutnya, UUM berbesar hati menawarkan diri kepada FWD Takaful untuk membangunkan produk takaful yang akan membantu golongan sasar mendapatkan perlindungan takaful terutama ketika ditimpa musibah dan bencana.

"Terima kasih kepada FWD Takaful kerana memilih UUM untuk bekerjasama dan saya berharap UUM akan dijadikan sebagai 'back office' FWD Takaful bagi menjalankan penyelidikan berkaitan takaful.

"UUM sedia menjadi sebahagian cerita yang akan dilakar FWD Takaful pada masa hadapan. Saya juga berharap pelajar dapat manfaatkan sebaik mungkin komputer riba yang disumbangkan FWD Takaful ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Strategi dan Saluran Digital, FWD Takaful Berhad, Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi berkata, pihaknya telah lama bekerjasama dengan UUM dan banyak projek dilaksanakan dengan IBS.

Menurutnya, pemberian komputer riba itu diharapkan dapat membantu mengubah nasib pelajar golongan B40 dan sebagai titik permulaan untuk membantu lebih ramai keluarga pada masa hadapan.

Katanya, di samping memberi komputer riba, pihaknya juga teruja dengan dedikasi yang ditunjukkan pasukan penyelidik di IBS yang menyediakan laporan berkualiti terutama dalam memperjuangkan nasib golongan berpendapatan rendah.

"Saya berharap kerjasama antara kedua pihak akan berterusan dalam memastikan produk inklusif takaful ini dapat diakses semua golongan," katanya.

Pelajar Sarjana Muda Pengurusan Awam, Muhammad Idham Hakim Iskandar berkata, dia gembira apabila dipilih untuk menerima komputer riba baharu sumbangan FWD Takaful.

Menurutnya, sebelum ini dia hanya menggunakan komputer riba milik abangnya yang sudah uzur dan apabila mengikuti kelas secara dalam talian, dia terpaksa mengguna telefon pintarnya.

"Komputer riba saya sekarang agak lama dengan storan terhad dan perlu sentiasa ditutup, jadi saya terpaksa menggunakan telefon pintar untuk menghadiri kelas dalam talian.

"Telefon pintar ini pula adalah hasil kerja sambilan yang dibuat di kafe agar saya dapat ikuti kelas 'online' dengan lancar dan tiada sebarang gangguan dan pada masa sama saya cuba menabung sedikit demi sedikit untuk membeli komputer riba baharu, namun ia mengambil masa lama," katanya yang bersyukur kerana doanya termakbul untuk menerima komputer riba tersebut.