11 PEGAWAI PENJARA TERIMA SURAT TAWARAN LANJUT PENGAJIAN

penjaraUUM ONLINE: Kajang - Seramai 11 pegawai penjara menerima surat tawaran melanjutkan pengajian bagi program sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Utara Malaysia (UUM) di Maktab Penjara Malaysia, pagi tadi.

Surat tawaran tersebut disampaikan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamad Said kepada tujuh pegawai yang akan mengikuti program PhD dalam pengajian koreksional, manakala selebihnya program sarjana.

Berucap di Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Timbalan Penguasa dan Inspektor Penjara Siri 1 Tahun 2022 dan Siri 1 Tahun 2020, Ismail berharap program sebegini dapat meningkatkan tahap ilmu pengetahuan pegawai penjara dalam bidang kerja sosial selaras dengan perkembangan Jabatan Penjara yang memfokuskan kepada program pemulihan di dalam komuniti.

“Bagi meningkatkan tahap profesionalisme pegawai penjara sejajar dengan Plan Transformasi Penjara, Jabatan Penjara Malaysia dengan kerjasama Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP) UUM telah bekerjasama dalam penawaran program pengajian sejak 2008.

"Ia melibatkan program Sains Koreksional bagi peringkat Diploma Siswazah Sains Koreksional, program Persijilan Kerja Sosial, Koreksional dan Intervensi Parol. Kerjasama itu dipertingkatkan lagi dengan program Sarjana Sains Koreksional yang melibatkan 23 orang pegawai pada tahun 2019,” tambahnya lagi.

Sejak jalinan kerjasama antara kedua-dua institusi dibuat sehingga 2021, dianggarkan seramai 2,500 pegawai penjara telah mendapat manfaat apabila 160 menamatkan pengajian di peringkat Diploma Siswazah Koreksional, manakala 200 orang lagi berjaya memperoleh sarjana masing-masing.

Setiap program itu melibatkan 100 pegawai penjara yang mengikuti program pensijilan berkenaan bagi tempoh 5 tahun.

Hadir menyaksikan penyerahan surat tawaran itu ialah Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah dan Dekan SAPSP, Prof. Madya Dr. Md Zawawi Abu Bakar.