RERUAI UUM DAPAT SAMBUTAN PENGUNJUNG JOM MASUK IPT ZON TIMUR

jmiptUUM ONLINE: Kelantan - Reruai Universiti Utara Malaysia (UUM) antara institusi pengajian tinggi (IPT) yang mendapat sambutan pengunjung di Program Jom Masuk IPT 2022 Fasa 2 (Zon 6 - Kelantan) yang berlangsung selama dua hari sejak semalam di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Bachok.

Reruai UUM itu menjadi tumpuan ramai pengunjung terdiri lepasan sekolah menengah, ibu bapa, guru dan orang awam yang ingin mendapatkan maklumat khususnya program ditawarkan bagi melanjutkan pengajian ke menara gading.

Kesempatan itu juga, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Shahimi Mohtar telah mengunjungi reruai UUM yang dikendalikan Jabatan Hal Ehwal Akademik, selain beramah mesra dengan pengunjung yang datang ke reruai tersebut.

Program Jom Masuk IPT telah dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Kementerian Pengajian Tinggi, Dr. Mohd Zabri Yusoff.

Beliau turut meluangkan masa menyantuni reruai UUM bersama Naib Canselor UMK, Prof. Dr. Razli Che Razak.

Antara pengisian program lain ialah sesi taklimat oleh Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, sembang santai, persembahan muzikal, sesi perkongsian oleh universiti awam, sesi perkongsian bersama ikon atau ‘influencer’ dan cabutan bertuah.

UUM akan menyertai siri jelajah Program Jom Masuk IPT di Terengganu pada 17 dan 18 Jun, diikuti Johor lokasi terakhir pada 24 dan 25 Jun.