SEMBANG SANTAI BERSAMA PELAJAR

vc sembang santaiUUM ONLINE: Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah telah meluangkan masa bertemu pemimpin pelajar baru-baru ini bagi mendekati mereka dengan lebih rapat lagi.

Dalam Majlis Hi-Tea  Naib Canselor Bersama Pemimpin Pelajar yang berlangsung di Dewan Seri Sri Angsana, EDC-UUM itu Haim Hilman memaklumkan universiti berusaha memberi perkhidmatan terbaik kepada para pelajar.

"Universiti juga sentiasa membuka ruang kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang dan persatuan untuk duduk berbincang demi kepentingan bersama.

“Saya menyeru semua pelajar agar bersifat terbuka dan sentiasa bertanya kerana pihak pengurusan ingin mendengar rasa hati pelajar," ujarnya.

Malah beliau berharap semua berlapang dada terhadap apa jua isu tanpa perlu kecewa jika ada situasi tidak seperti yang diharapkan.

"Ini kerana semua bersifat baharu, sesiapa sahaja boleh buat silap dan memiliki kelemahan,” ucapnya kepada semua pemimpin pelajar yang hadir. 

Beliau mengalu-alukan idea dan pandangan sekalipun berbeza pendapat namun perlu diiringi dengan adab agar perbezaan itu dapat disulami dengan kasih sayang dalam usaha mencari solusi terbaik. 

Beliau juga mahu setiap pelajar bersama-sama menjaga nama baik universiti dan berjanji universiti sentiasa bersama pelajar menyertai sebarang program yang dianjurkan.

Turut serta dalam pertemuan itu ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, Penolong Naib Canselor UUM COLGIS, Prof. Dr. Nuarrual Hilal Md Dahlan, Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah dan Pengarah Jabatan Pembangunan dan Penyenggaraan (JPP), Ir. Md. Uzairin Saidin.