UUM KINI 500 TERBAIK DUNIA

WhatsApp Image 2022 06 09 at 10.13.44 AMUUM ONLINE: Kedudukan Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2023 semakin memberangsangkan apabila berada dalam kelompok 500 universiti terbaik dunia dalam satu pengumuman yang dibuat awal pagi tadi.

Berdasarkan kedudukan ranking yang diumumkan itu, UUM kini berada di tangga 481, berbanding edisi sebelumnya iaitu di tangga 511-520, dan sekali gus meletakkan universiti ini di kedudukan keenam universiti awam terbaik negara.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah dalam perkongsiannya menyatakan rasa gembira kerana UUM berjaya memecah masuk dalam kelompok 500 universiti terbaik dunia.

“Alhamdulillah, ini adalah kejayaan bersama kita. Saya yakin dan percaya kejayaan ini tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa komitmen semua termasuk pensyarah, pentadbir, sokongan dan siapa juga tanpa mengira jawatan yang menyumbang kepada kejayaan ini.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi dan kerajaan Malaysia yang banyak membantu universiti awam agar terus kekal kompetitif di persada dunia dan yakin akan terus mengorak langkah untuk berjaya di masa hadapan,” ujarnya.

Dalam ucapan itu juga, Haim Hilman turut menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada semua alumni UUM atas hasil usaha dan sokongan yang diberi terhadap semua agenda yang disusun bagi mengangkat martabat universiti di mata dunia.

Namun, beliau berharap semua pihak dapat berusaha memastikan kecemerlangan menjadi titik kebangkitan sebagai sebuah universiti.

“Kita perlu berusaha untuk menjadi sebuah universiti yang cemerlang dalam bidang akademik, penyelidikan dan pembangunan modal insan kerana ciri-ciri inilah yang membawa kita kepada kejayaan dalam ranking ini.

“Ini kerana ranking merupakan manifestasi kepada kejayaan kita untuk terus kekal cemerlang dan kompetitif dalam dunia pendidikan tinggi antarabangsa dan negara,” tegasnya lagi.

Beliau turut menyeru semua pihak agar dapat menggembeling tenaga dalam usaha mencapai visi sebagai Universiti Pengurusan Terkemuka.

QS World University Rankings yang dikeluarkan secara tahunan menyaksikan lebih 1,422 universiti seluruh dunia yang disenaraikan bagi penarafan 2023.

Dalam tempoh tiga tahun dari 2021, UUM berjaya membuat lonjakan 50 anak tangga sehingga tersenarai dalam 500 universiti terbaik dunia pada tahun penarafan ini.