ENAM JURNAL UUM TERIMA KETUA PENGARANG BAHARU

uum pressUUM ONLINE: Enam jurnal UUM Press menerima ketua pengarang baharu pada Majlis Serah Tugas Ketua-ketua Pengarang Jurnal Universiti Utara Malaysia (UUM), baru-baru ini.

Enam jurnal tersebut ialah Journal of Information and Communication Technology (JICT), Malaysian Journal of Learning and Instruction (MJLI), UUM Journal of Legal Studies (UUMJLS), Malaysian Management Journal (MMJ), Journal of Governance and Development (JGD) dan International Journal of Islamic Business (IJIB).

Ketua-ketua pengarang baharu berkenaan ialah Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam bagi MMJ, Prof. Madya Dr. Norliza Katuk (JICT), Prof. Madya Dr. Zuryati Mohamed Yusof (UUMJLS), Dr. S. Kanageswari Suppiah Shanmugam (MJLI), Prof. Madya Dr. Norazlina Abdul Wahab (IJIB) dan Prof. Madya Dr. Rozita Abdul Mutalib (JGD).

Pada majlis itu, Pengarah UUM Press, Prof. Madya Dr. Hamidi Ismail turut merakamkan penghargaan kepada semua bekas ketua pengarang jurnal yang telah melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi sepanjang memegang jawatan yang penting itu bagi memajukan jurnal masing-masing.

Mereka terdiri daripada Prof. Dr. Ku Ruhana Ku Mahamud, Prof. Dr. Asmah Laili Yeon, Prof. Dr. Sallahuddin Hassan, Prof. Dr. Rosylin Mohd Yusof, Prof. Madya Dr. Tengku Faekah Tengku Ariffin dan Prof. Madya Dr. Badariah Din.

Menurut Hamidi, UUM mempunyai 21 buah jurnal dan sembilan jurnal yang diurus terbit oleh UUM Press.

“Saya menaruh kepercayaan dan keyakinan ketua-ketua pengarang baharu akan terus memberikan komitmen terbaik bersama barisan sidang pengarang jurnal bagi menjadikan jurnal UUM berimpak dan berindeks di dalam pangkalan indeks antarabangsa seperti Scopus dan Web of Science.

“UUM mempunyai empat jurnal berindeks Scopus. JICT dan MJLI berada pada kedudukan Q1, UUMJLS pada kedudukan Q3 dan JIS pada kedudukan Q4,” ujarnya lagi.