HAMPIR 2,000 MERIAHKAN MAJLIS SILATURAHIM AIDILFITRI

raya vcUUM ONLINE: Hampir 2,000 warga Universiti Utara Malaysia (UUM) memeriahkan sambutan Majlis Silaturahim Aidilfitri UUM yang diadakan di Dewan Mu’adzam Shah, hari ini.

Kemeriahan itu ditambah lagi dengan pelbagai juadah dari 46 gerai yang disediakan pusat tanggungjawab dan pusat pengajian.

Turut menyerikan sambutan majlis ini ialah Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah bersama-sama pengurusan tertinggi universiti.

Haim Hilman dalam ucapannya berkata, bulan Syawal merupakan hari kemenangan untuk diraikan seluruh umat Islam.

Menurutnya, kemenangan ini adalah apabila umat Islam semakin mendekati Pencipta, hati terikat rapat dengan Allah dan rasa hampir dengan Rasulullah walaupun diri jauh daripada Baginda beribu tahun.

“Hari raya juga sangat dekat dengan hati kita. Saya yakin dan percaya ada 1,001 kenangan apabila tibanya Aidilfitri terutama dengan ibu dan ayah, sanak saudara serta ahli keluarga lain.

“Bagi yang sudah kehilangan ibu bapa, sudah pasti rindu untuk bersalaman dan mencium tangan mereka. Momen ini membuatkan kita rasa rindu dan rindu ini mengatasi segala kerinduan yang ada,” katanya dengan penuh sebak.

Tambah Haim Hilman lagi, bagi mengubati rindu itu, ziarahi pusara kedua ibu bapa yang telah pergi sebagai tanda anak soleh dan solehah.

Menurutnya, warga UUM hari ini menjadi hebat sekarang kerana doa-doa ibu bapa, bapa saudara dan ibu saudara yang berada jauh di kampung-kampung.

Beliau juga berharap warga universiti dapat menjadikan UUM seperti rumah kedua untuk sama-sama melonjakkan nama universiti ini.

Pada majlis itu, turut diadakan penyampaian hadiah untuk pemenang gerai tercantik yang dimenangi UUMIT.

Sementara itu, pelajar, Mohamad Syukri Tukemon @ Tukiman berkata, majlis sambutan hari raya di UUM pada kali ini amatlah meriah setelah dua tahun tidak dapat berkumpul secara beramai-ramai seperti ini.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak UUM kerana telah menganjurkan sambutan hari raya ini dan melalui majlis ini juga saya dapat berjumpa dengan rakan-rakan yang sudah lama tidak bertemu, sekali gus dapat menguatkan lagi hubungan silaturahim antara kami," katanya.

Bagi pelajar Muhammad Faiz Rafezin pula, jamuan hari raya yang melibatkan seluruh warga UUM adalah satu majlis yang menggembirakan kerana sudah lama dia tidak merasakan suasana program secara bersemuka ini.

Menurutnya, jamuan raya yang dianjurkan UUM pada kali ini meriah dengan pelbagai makanan dan minuman yang menarik terutamanya daging rusa yang disediakan oleh staf UUM.