UUM KOMITED JULANG BAHASA MELAYU JADI BAHASA ILMU

simposiumUUM ONLINE: Kuala Lumpur - “Universiti Utara Malaysia (UUM) komited dan berusaha untuk menjulang bahasa ibunda sebagai bahasa ilmu,” kata Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah pada sesi pembentangan kertas kerja sempena Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka, hari ini.

Beliau berkata, UUM pastinya sentiasa berusaha untuk mengangkat bahasa ibunda ini menjadi bahasa ilmu, tetapi apa maknanya ilmu sekiranya masih ramai yang berasa ragu-ragu akan kemampuan bahasa itu untuk mengangkat negara bangsa menjadi maju.

“Kita perlu menyusun dari peringkat akar umbi, perlu dibangunkan jati diri dan keyakinan agar kita tidak goyah atau goncang apabila orang lain mengatakan mana mungkin bahasa ini mampu untuk diangkat dan dijulang walaupun semangat berkobar-kobar di pentas-pentas perdebatan bahasa, tetapi realitinya bagaimana untuk kita telusuri apa yang kita rancang itu benar-benar menjadi komitmen yang hakiki di semua peringkat.

“Semua orang perlu membuat refleksi diri sama ada diri benar-benar jujur dengan apa yang diusahakan bersama,” katanya.

Haim Hilman berkata, mungkin esok akan ada resolusi kepada usaha ini, namun yang penting adalah pelaksanaan kepada apa yang diresolusikan bersama.

Pada pembentangan bertajuk ‘Isu dan Cabaran Bahasa Melayu Abad Ke-21: Strategi Universiti Utara Malaysia’, beliau menegaskan agar masyarakat harus berusaha bagi memastikan gerak kerja mempunyai kerangka dan sasarannya.

Matlamat simposium ini adalah bagi menyahut kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahukan bahasa Melayu dimartabatkan dalam negara dan diperluas penggunaannya di peringkat ASEAN dan antarabangsa.

Simposium yang berlangsung dari 22 hingga 24 Mei itu melibatkan tiga ucap tama, 15 sidang membabitkan pembentangan kertas kerja oleh 60 tokoh dari Malaysia, negara-negara ASEAN dan antarabangsa serta dua forum membabitkan 12 tokoh.

Perasmian simposium yang bertemakan Mengangkat Bahasa Melayu sebagai Bahasa ASEAN dan Antarabangsa telah dirasmikan Perdana Menteri dan di akhir simposium nanti, satu resolusi akan diserahkan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.