NAIB CANSELOR AJAK WARGA UNIVERSITI BERSAMA-SAMA CEMERLANGKAN UUM

100 daysUUM ONLINE: Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah mengajak semua warga universiti bersama-sama beliau untuk bekerjasama dalam mengekalkan arah hala tuju sebagai sebuah Universiti Pengurusan Terkemuka.

“Misi dan visi universiti ini perlu dicapai dengan kerjasama semua pihak terutama staf akademik dan pentadbiran secara keseluruhannya,” ujar beliau ketika berucap di Majlis 100 Hari Pentadbiran sebagai Naib Canselor.

Katanya pihak universiti sentiasa memacu ke arah kecemerlangan menurut acuan aspirasi Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad iaitu mengukuhkan ekosistem kampus yang selamat, kebolehpasaran graduan, memperkasakan agenda pendigitalan, memantapkan jaringan kolaborasi strategik, memacu kesejahteraan komuniti, mempersada kecemerlangan institusi dan menyemarak semangat KPT prihatin.

Dalam memacu universiti menuju kecemerlangan, 20 Key Result Area (KRA) telah diperkenalkan yang merentasi pelbagai teras strategik bagi mencapai kecemerlangan akademik sekaligus menjadi universiti yang peka dengan isu-isu masyarakat dan industri.

“Kita tidak mahu bekerja sebagai silo dan ingin menjadi sebahagian dari masyarakat dan industri dengan meningkatkan pendapatan universiti dari segi akademik dan bukan akademik,” ujar beliau lagi.

Dalam masa yang sama pihak universiti juga berusaha untuk membuat penjimatan sebanyak mungkin bagi membolehkan setiap sen yang dibelanjakan memberi pulangan bermanfaat kepada staf dan pelajar.

Beliau juga berharap semua pelajar dan staf sentiasa santuni budi baik dan menjaga hubungan antara satu sama lain sehingga orang tertanya-tanya dari mana mereka ini belajar dahulu disebabkan perlakuan dan akhlak yang luar biasa.

Di majlis itu, beliau turut menandatangani plak pelancaran 100 hari pentadbiran dan menyampaikan cenderamata kepada presiden-presiden persatuan dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Selain staf universiti, majlis ini turut dihadiri Timbalan-timbalan Naib Canselor, ahli jawatankuasa pengurusan universiti, presiden-presiden persatuan dan juga wakil pelajar.