PRODUK INOVASI DIGITAL SOE RANGKUL 2 EMAS, 1 PERAK DI EDGII 2022

soe produk digitalUUM ONLINE: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Pusat Pengajian Pendidikan (SoE) berjaya merangkul dua pingat emas dan satu pingat perak sempena EDGII 2022: Educational Design, Games, Invention, and Innovation 2022, baru-baru ini.

Produk inovasi digital tersebut ialah 'English EnVenture' dan Pendidik Maya masing-masing berjaya merangkul pingat emas, manakala produk I-Simbah menerima pingat perak.

Bagi produk Pendidik Maya telah diusahakan oleh 11 pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Pendidikan yang diketuai Nur Akma Nabila dibawah bimbingan Dr. Siti Nazuar Sailin.

Nur Akma berkata, Pendidik Maya merupakan laman pembelajaran mikro yang dibangunkan secara kolaborasi jarak jauh bagi memenuhi keperluan tugasan salah satu kursus tahun akhir.

“Pendidik Maya ini dibangunkan sebagai 'one-stop centre' kepada guru dan pelajar sekolah menengah yang mengandungi rangkaian bahan pembelajaran mikro dalam pelbagai media seperti video instruksional dan infografik bagi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sains Komputer.

“Aktiviti pengukuhan dalam bentuk gamifikasi menggunakan pelbagai alatan interaktif seperti Quizziz, Kahoot dan Wordwall turut tersedia,” ujarnya.

Menurutnya, laman sesawang itu dibangunkan seiring dengan keperluan semasa pembelajaran secara hibrid iaitu gabungan kaedah bersemuka dan atas talian.  

Tambahnya, mereka juga telah mengenal pasti masalah kekurangan bahan dan video pembelajaran mikro interaktif yang boleh digunakan oleh guru dan pelajar untuk menyokong pembelajaran hibrid dalam talian.

“Kami amat teruja meraih pingat emas memandangkan baru pertama kali menyertai pertandingan seumpama ini, di samping berpeluang menimba ilmu daripada kursus ini dan pengalaman berharga.

“Penyertaan dalam pertandingan inovasi ini telah memberikan satu nilai tambah kepada kami sebagai bakal guru yang sedang bergerak ke arah fasa peralihan endemik yang semestinya perlu sentiasa inovatif dan kreatif,” katanya.

Sementara itu, pensyarah kursus, Siti Nazuar berkata, kekuatan produk ini terletak kepada keaslian laman Pendidik Maya dari segi isi kandungan digital yang memaparkan video instruksional yang menarik selain kandungan soalan kuiz dan aktiviti yang dicipta sendiri oleh pelajar menggunakan alatan interaktif.

Menurutnya, dia berharap laman itu akan terus dikembangkan kerana membantu guru dalam mengintegrasikan bahan pembelajaran yang lebih interaktif sesuai dengan keperluan pembelajaran abad ke-21.

Manakala bagi produk English EnVenture dan I-Simbah dibangunkan oleh 6 pelajar Program Pascasiswazah Pendidikan (PGDE) yang diketuai Muhammad Ilmi Farhan Ismail dengan bimbingan Prof. Madya Aizan Yaacob dan Dr. Farah Mohamad Zain.

Muhammad Ilmi berkata, produk dibangunkan itu berasaskan model ADDIE untuk meningkatkan penguasaan kosa kata pelajar dalam persekitaran pembelajaran gamifikasi.

“Kita berusaha menghasilkan produk inovasi digital seiring dengan Revolusi Pendidikan 4.0 membabitkan gabungan perisian RPG Maker dan Metaverse menjadikan projek ini unik dan mempunyai potensi untuk dikomersilkan,” ujarnya. 

Bagi produk I-Simbah pula dibangunkan oleh pasukan yang diketuai Nur Nazurah Mohd Noramin Chang. 

Nur Nazurah berkata, kesukaran murid memahami maksud simpulan bahasa dan penggunaan simpulan bahasa yang salah dalam penulisan mencetus ilham dalam menghasilkan I-Simbah yang melibatkan asimilasi antara murid-teknologi kerana melibatkan auditori (video), visual (grafik) dan hands-on (QR code dan AppsGeyer).

Menurutnya, produk inovasi digital yang dibangunkan pelajar mengintegrasikan teknologi digital seperti pengaturcaraan web, aplikasi mobile, ‘augmented reality’ dan QR Code.

Dekan SoE, Prof Dr. Yahya Don berkata, beliau sentiasa menyokong usaha pelajar dalam menghasilkan produk inovasi digital dan optimis pengalaman pelajar semasa menyertai pertandingan ini mampu meningkatkan kemahiran kreativiti dan komunikasi pelajar serta melahirkan bakal guru yang inovatif.