KLINIK NAIB CANSELOR MEDIUM PERKONGSIAN IDEA, PANDANGAN DAN ISU WARGA UUM

klinik vcUUM ONLINE: Mengamalkan dasar pintu terbuka kepada seluruh warga Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk berkongsi idea, pandangan dan isu, Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah mewujudkan Klinik Naib Canselor yang mula beroperasi pada Khamis lalu di pejabat beliau di Canselori Sultan Sallehuddin.

Haim Hilman berkata, tujuan Klinik Naib Canselor itu diwujudkan adalah untuk memberi ruang dan peluang kepada seluruh warga universiti termasuk pelajar untuk bertemu empat mata dengannya bagi melontarkan idea, cadangan dan isu tanpa melalui sebarang janji temu.

“Idea mahupun cadangan ini tidak semestinya menjurus kepada hal-hal akademik, malahan isu berkaitan pentadbiran, fasiliti, kebajikan dan sebagainya yang dilihat wajar dan relevan.

“Saya mengalu-alukan kehadiran semua warga UUM untuk datang berjumpa tanpa rasa takut atau malu. Kita boleh berkongsi idea mahupun masalah yang mungkin boleh diselesaikan dan diperbaiki demi manfaat bersama,” katanya.

Haim Hilman berkata, Klinik Naib Canselor itu hanya dibuka setiap Khamis pada minggu kedua dan keempat sahaja dari jam 2.30 hingga 5.30 petang.

Menurut beliau, dengan adanya Klinik Naib Canselor itu diharapkan dapat merapatkan jurang antara pengurusan tinggi universiti dengan warga UUM agar dapat bersama-sama berganding bahu berusaha menjayakan agenda universiti.

Sementara itu, pensyarah, Prof. Madya Dr. Shahrul Azmi Mohd. Yusof berpandangan bahawa Klinik Naib Canselor adalah satu medium terbaik untuk bertemu secara langsung dengan beliau.

Menurutnya, dia berterima kasih kerana diberi kesempatan untuk menjadi individu pertama berjumpa Prof. Dr. Haim Hilman bagi membincangkan tentang produk berinovatif yang telah dibangunkan untuk membantu ekonomi komuniti seperti sistem penjualan makanan, barangan terpakai, penghantaran barang dan pencarian kerja jangka pendek.

“Alhamdulillah, beliau memberi sokongan kepada usaha kami untuk mengaplikasikan sistem-sistem tersebut di dalam UUM, malah beliau juga mengambil maklum akan kebolehan kami untuk membangunkan sistem berunsurkan teknologi maklumat. 

“Saya amat berterima kasih kepada beliau kerana memberi saya peluang untuk berbincang dengannya dan saya juga menggalakkan rakan-rakan staf UUM untuk mengambil peluang keemasan ini berjumpa sendiri dengan Naib Canselor jika ada perkara penting yang perlu dibincangkan,” katanya.

Manakala Penolong Jurutera, Affendi Askandar berkata, Klinik Naib Canselor itu adalah satu ruang yang sangat efisien bagi mendengar segala permasalahan dan perkara berbangkit oleh staf.

Menurutnya, melalui klinik itu, pihak pengurusan boleh mengambil maklumat-maklumat dari peringkat akar umbi tanpa ada kerenah birokrasi, seterusnya dapat mendekatkan hubungan dengan lebih harmoni antara staf dan pengurusan dalam memurnikan segala permasalahan di UUM.

“Saya mewakili Kesatuan Kakitangan (KESKA) UUM mengucapkan tahniah dan ribuan terima kasih atas keprihatinan pihak pengurusan terutamanya Prof. Dr. Haim Hilman yang telah mengambil inisiatif ini,” katanya selaku Presiden KESKA.