YDP MPPUUM DIPILIH SEBAGAI PRESIDEN MPPK 2022

mpp mppkUUM ONLINE: Kredibiliti Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia (MPPUUM) 2021/2022 telah melayakkannya dilantik sebagai Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) 2022.

Muhammad A’linur Ahlam Abu Bakar berkata, dia telah dilantik untuk memikul tanggungjawab itu pada 11 April 2022 bagi tempoh satu penggal.

Menurutnya, dia bersyukur ke hadrat-Nya di atas pelantikan itu yang dianggap sebagai satu amanah besar yang perlu digalas demi pembangunan golongan belia dan pada masa sama membantu negara.

"Pelantikan ini juga merupakan satu pencapaian kepada UUM meskipun berat untuk dipikul, namun saya akan jalankan tanggungjawab diberikan dengan sebaiknya.

"Saya memerlukan satu semangat perjuangan yang kental, pemikiran yang kritis dan pasukan yang utuh supaya dapat membawa agenda untuk memperjuangkan mahasiswa bukan sahaja di UUM malah seluruh Malaysia," katanya yang juga pelajar Semester 6, Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan.

A’linur Ahlam berkata, dia berharap akan bersama-sama ahli MPPK membawa hala tuju yang utama agar selari dengan kehendak pelajar dalam hal-hal berkaitan kebajikan, kualiti mahasiswa dan kualiti pendidikan universiti di Malaysia.

Selain itu, tambahnya, pelajar universiti hari ini juga perlu dilatih dan diberi pendedahan awal untuk memimpin negara kelak.