Alumni    •    Vacancy

PROJEK TDiRI RANGKUL NAIB JOHAN AKRI 2022

tdri akriUUM ONLINE: Projek ‘TDiRI (Teach - Do It - Reflect - Improve) with Active, Fun and Technology’ yang dihasilkan sekumpulan pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya merangkul gelaran naib johan pada Anugerah Khas YB Menteri Pengajian Tinggi: Reka Bentuk Kurikulum Dan Penyampaian Inovatif (AKRI) di Putrajaya, semalam.

Projek yang diketuai Dr. Hafizah Mohamad Hsbollah itu merangkul anugerah bagi kategori Pengajaran Transformatif yang disampaikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Hafizah berkata, pasukan UUM terdiri pensyarah Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) berjaya disenarai pendek sebagai lima finalis daripada 66 permohonan bagi kategori yang sama.

Menurutnya, beliau dan ahli pasukan iaitu Prof. Madya Dr. Haslinda Hassan dan Dr. Mohd. Hadzrami Harun Rasit berterima kasih kepada Naib Canselor, UTLC dan TISSA-UUM serta semua rakan akademik yang sentiasa menyokong dalam usaha penambahbaikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Katanya, projek yang dimenangi itu adalah untuk meningkatkan keterlibatan pelajar sewaktu proses pembelajaran dan seterusnya meningkatkan pencapaian dan kemahiran pelajar.

“Elemen TDiRI diperkenalkan bagi mentransformasikan proses pengajaran dan pembelajaran bagi kursus teknikal supaya pelajar kekal aktif dan dapat membangunkan potensi pelajar dalam kemahiran insaniah menerusi ‘4Cs: Communication, Collaboration, Creativity and Critical Thinking’ dan kemahiran teknikal.

“Kaedah pengajaran transformatif ini memfokus kepada empat kaedah interaktif iaitu ‘Teach’ di mana pensyarah menggunakan kaedah ‘hands-on’ dengan mengintegrasikan elemen ‘Active, Fun and Technology’ di dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kedua, ‘Do It’ iaitu pelajar mengaplikasikan konsep yang telah dipelajari. Ketiga, ‘Reflect’ apabila pelajar membuat refleksi pembelajaran dan keempat, ‘Improve’ iaitu pelajar membuat penambahbaikan untuk meningkatkan kefahaman dan kebolehan mengaplikasi konsep yang dipelajari,” ujar beliau.

Hafizah berkata, dengan kemenangan itu diharapkan menjadi sumber inspirasi kepada semua pendidik agar sentiasa berusaha bersama-sama untuk menambahbaik kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam melahirkan graduan yang holistik yang mampu berdaya saing di masa hadapan.

AKRI merupakan pengiktirafan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kepada pensyarah yang cemerlang, kreatif dan inovatif dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Ia bertujuan untuk mengenal pasti, memberi pengiktirafan serta berkongsi amalan terbaik projek-projek serta inisiatif yang telah dilaksanakan samada di peringkat institusi atau individu.

AKRI 2022 telah berjaya mengetengahkan inovasi dan kreativiti dalam memperkasakan PdP yang akan memberi impak kepada masyarakat dan negara melalui 220 penyertaan daripada Universiti Awam, Institusi Pendidikan Tinggi Swasta, Politeknik dan Kolej Komuniti.

Penganjuran AKRI 2022 menyokong Lonjakan 1: Graduan Holistik, Berciri Keusahawanan dan Seimbang dan Lonjakan 9: Pembelajaran Dalam Talian Tahap Global dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi), PPPM(PT) 2015 - 2025.