Alumni    •    Vacancy

PERANAN PROFESOR TERUS DIHARGAI

2UUM ONLINE: Profesor memainkan peranan yang cukup besar dalam sesebuah universiti seterusnya menjadi pemangkin kepada kecemerlangan universiti. Ilmu dan kepakaran yang tinggi, ketokohan dalam sesuatu bidang akademik selain berpengalaman luas dalam bidang penyelidikan meletakkan profesor di kelas tersendiri.

Pengerusi, Majlis Profesor Universiti Utara Malaysia (MPUUM) sesi 2023 – 2025, Prof. Dr. Rosna Awang Hashim berkata, profesor harus menghayati falsafah penubuhan Majlis Profesor UUM sejak dua dekad dahulu yang mewakili akademia Universiti dan menjadi pemikir dalam perkara yang berkaitan dengan kepentingan universiti dan negara.

Beliau menyeru profesor sentiasa peka dan responsif terhadap agenda pendidikan negara dan seterusnya berusaha untuk melengkapkan diri selari dengan cabaran pendidikan tinggi masa kini. Budaya ini mendorong staf akademik supaya sentiasa muhasabah diri serta melakukan perubahan dan penambahbaikkan secara berterusan.

UUM mempunyai profesor berkaliber yang banyak memberi sumbangan kepada kecemerlangan universiti termasuk dalam sumbangan kepada komuniti, penerbitan, sitasi serta penghasilan pelajar pasca-siswazah dan mahasiswa holistik. Sumbangan profesor di universiti ini adalah menyeluruh dari segenap aspek turut menyumbang kepada hasrat dan cita-citi universiti untuk menjadi univesiti pengurusan yang terkemuka.

“Saya yakin ramai profesor yang kebanyakan telah menyumbang lebih daripada 20 tahun bersama UUM telah diamanahkan beberapa jawatan penting dalam pentadbiran universiti. Moga sumbangan ini menjadi saham yang tak ternilai di akhirat nanti,” ucapnya pada Majlis Persaraan Profesor 2023 Di EDC-UUM, semalam.

Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan para profesor yang bersara untuk terus bersama MPUUM menabur bakti menerusi aktiviti yang dijalankan.

“Kehadiran profesor dapat memberi semangat, inspirasi dan bimbingan kepada pensyarah muda supaya UUM dapat mencapai hasrat yang didambakan.

“Saya merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada profesor yang telah banyak berbakti serta MPUUM yang berjaya menganjurkan berbagai aktiviti bagi meningkatkan nama baik universiti,” ujarnya.

Sementara itu, Prof. Dr. Roslan Abdul Hakim mewakili rakan-rakan seperjuangan mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada MPUUM kerana meraikan dan menghargai profesor yang bersara.

“Dengan persaraan ini tidak bererti kerjaya dan hubungan kita terhenti di sini malah kami akan terus menyumbang budi dan bakti kepada universiti walaupun selepas bersara.

“Kita harus senantiasa ceria dan gembira bekerja, menyumbang idea bernas dalam usaha membangunkan universiti walaupun menterjemahkan idealisma kepada realiti itu mungkin sukar. Untuk itu, panduan yang boleh digunakan ialah kita patut ubah apa yang kita tidak boleh terima, dan sebaliknya, kita harus terima apa yang kita tak boleh ubah. Sikap begini akan membantu kita merasai ketenangan dan akan rasa seronok bekerja,” ujarnya.

Barisan profesor yang bersara ialah Prof. Dr. Samihah Khalil, Prof. Dr. Zurni Omar, Prof. Dr. Wan Nordin Wan Hussin, Prof. Dr. Roslan Abdul Hakim, Prof. Dr. Nurahimah Mohd Yusoff dan Prof. Dr. Norshuhada Shiratuddin.

Terdahulu, telah berlangsung Mesyuarat Agung Majlis Profesor UUM yang dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UUM, Prof. Dr. Shahimi Mohtar, yang mewakili Naib Canselor.

Dalam ucapannya beliau menegaskan profesor perlu terus berusaha melengkapkan diri untuk memenuhi misi dan visi universiti dalam memastikan budaya kerja cemerlang menjadi kelaziman dalam melaksanakan tugas sebagai staf akademik seiring dengan kepimpinan universiti.

Mesyuarat turut menyaksikan Pemilihan Barisan Kepimpinan Baharu Majlis Profesor UUM Sesi 2023/2025 antaranya Timbalan Pengerusi, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Majid, Setiausaha, Prof. Dr. Noor Azniza Ishak, Bendahari, Prof. Dr. Nor Aziah Abdul Manaf dan Ketua Modal Insan/Kebajikan, Prof. Sr. Dr. Mohd. Nasrun Mohd Nawi.