Alumni    •    Vacancy

PENGALAMAN CIK TIM CHUCHEE BUKA MATA USAHAWAN WANITA

WhatsApp Image 2022 09 28 at 5.14.14 PMUUM ONLINE: Pengalaman usahawan wanita dari golongan asnaf telah membuka mata 42 peserta program IPIZ Talk: Perkasa Suri-Jalan Menuju Kejayaan yang diadakan di Dewan Seminar Pusat Islam, baru-baru ini.

Fatimah Umar atau mesra disapa Cik Tim Chuchee memulakan perkongsiannya dari ‘zero to hero’ bersama Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Dr. Fauziah Mohd. Noor yang mengendalikan forum berimpak itu.

Menurutnya, bermula sebagai penerima zakat, dia memulakan khidmat mencuci rumah dengan sebatang penyapu, mop dan baldi yang akhirnya berjaya mengubah kehidupannya sehingga bertukar menjadi seorang pembayar zakat pula.

“Kehidupan saya berubah dengan usaha gigih tanpa putus asa apabila menceburkan diri dalam bidang perkhidmatan pencucian ini sehingga dinobatkan sebagai salah seorang penerima Anugerah Ikon Usahawan Asnaf 2022.

“Saya bersyukur dengan kehidupan dinikmati sekarang. Selain itu, saya ingin mengingatkan usahawan wanita lain sekiranya berdepan dengan tekanan, cuba hilangkan rasa itu dengan membersihkan rumah. Insha Allah, kita akan mula menjadi tenang dan gembira melihat rumah bersih serta kemas, malah pasangan dan anak-anak juga akan turut gembira dan mahu duduk di rumah sebab rumah bersih dan selesa,” ujarnya.

Kata-kata beliau itu disokong oleh Pengarah Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ), Prof. Madya Dr. Selamah Maamor yang merasmikan program berkenaan.

Selamah berkata, dalam Islam itu sendiri turut menekankan tentang kebersihan yang dititik beratkan dan berharap ia menjadi amalan semua orang. Semoga ianya membawa kebaikan kepada peserta yang hadir.

Program tersebut juga diserikan lagi dengan sesi motivasi oleh Prof. Madya Dr. Norashidah Hashim dan penerangan fasa kedua projek penyelidikan LRGS bertajuk ‘B40 Women Entrepreneurs in Bricolage Sector: A New Development Model for Poverty Reduction in Malaysia’.

Menurut Norashidah, ciri-ciri yang perlu ada pada usahawan wanita adalah niat menjadi usahawan kerana Allah, mematuhi syariah dan berakhlak mulia.

Katanya, seorang usahawan wanita hendaklah membantu orang lain, memenuhi keperluan dan kehendak serta menyelesaikan masalah dalam setiap bidang perniagaan yang diceburi.