Alumni    •    Vacancy

MANFAATKAN WAKTU DENGAN ILMU

5UUM ONLINE: 

Bangun pagi tidak tergesa,

senaman ringan diri selesa,

sarapan sedikit sekadar rasa,

tahap kesihatan sering diperiksa.

Hidup bersara terasa lega,

tiada musykil serta curiga,

tak banyak hati perlu dijaga,

hanya bermesra jiran tetangga.

Demikian celoteh wakil pesara, Prof. Dr. Abdull Sukor Shaari yang menceriakan tetamu pada Majlis Sanjungan Bakti yang berlangsung di Dewan Sri Angsana, EDC-UUM.

Jelasnya, selama 23 tahun menabur bakti di UUM beliau terhutang budi kepada yang UUM yang telah memberi pelbagai ilmu, dan pengalaman yang membentuk jati diri serta karakter positif. 

Beliau menyeru rakan pesara mendalami ilmu agama seperti memantapkan ilmu akidah, membaca al-Quran dan memahaminya, melakukan amalan sunah seperti sembahyang tahajud, taubat dan puasa.

“Qada sembahyang yang pernah ditinggalkan, perbaiki ilmu sembahyang, basahi lidah dengan zikir, istighfar, lakukan ibadah korban setiap tahun, dekati masjid, jangan pulak masa yang banyak terluang kita asyik tengok drama cinta. 

“Amalkan senaman dan jaga kesihatan supaya mudah beribadat, jangan jadi kuli anak kerana waktu inilah anak-anak suka letak cucu pada kita untuk kesenangan mereka kecualilah sesekali jika terdesak.

“Jangan tersalah pilih pelaburan kerana scammer tunggu nak baham! Cukuplah pencen dan simpanan yang ada memenuhi keperluan kita jadi banyak bersyukur sebab hidup kita tidak lama, kejayaan sebenar apabila kita berjaya membawa keluarga jauh dari neraka,” pesannya ketika berucap.

Beliau yang memegang nombor staf 1544, mula melapor diri sebagai pensyarah pada awal 1999 dengan jawatan terakhir sebagai Pengarah, Pusat Asasi Pengurusan UUM.

“Lakukan tugas yang diamanahkan dengan seikhlas hati paling penting, nawaitu kerana Allah, kuatkan semangat berpasukan, teruskan usaha yang baik demi kejayaan sekali gus menjulang nama UUM di persada dunia,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Dr. Shahimi Mohtar berkata, majlis ini memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada 106 pesara yang telah mencurahkan khidmat bakti hingga ke saat persaraan sepanjang tahun 2022.

“Sumbangan bakti inilah yang telah banyak membantu kepada kecemerlangan Universiti pada hari ini dan menjadi contoh yang terbaik kepada warga Universiti yang masih berkhidmat.

“Saya dan seluruh warga UUM, mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih di atas sumbangan tanpa anda UUM tidak ke mana-mana. UUM berada di tahap ini, menjadi antara yang terbaik, semua ini bukan kerja setahun dua tetapi kerja lama yang telah anda bina,” ucapnya.

Beliau turut mengucapkan syabas kepada  pasangan dan keluarga yang selama ini begitu setia mengharungi hidup bersama justeru luangkan masa buat isteri yang banyak berkorban.