Alumni    •    Vacancy

MAHASISWA CERDIK CUKAI DALAM VIRTUAL TAX-EDU CHALLENGE  

d64106db 846f 49aa 8aba 00f138007beeUUM ONLINE: Pertandingan Virtual Tax-Edu Challenge 2022 mampu melahirkan mahasiswa cerdik cukai sekali gus membantu Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) mempromosikan kesedaran cukai dalam kalangan rakyat Malaysia. 

Pertandingan anjuran HASiL berjaya menarik penyertaan 75 pasukan yang terdiri daripada  mahasiswa dari  pelbagai Institusi Pengajian Tinggi dan Kolej Politeknik dari seluruh Malaysia. 

Ketua kumpulan yang mewakili Universiti Utara Malaysia (UUM), Aida Safiah Khairul Nizam berkata, pertandingan yang diadakan bersempena dengan sambutan Hari HASiL ke-27 ini bertujuan untuk memberikan pendedahan awal kepada para mahasiswa tentang peranan dan kepentingan cukai kepada pembangunan negara. 

Jelasnya, Virtual Tax-Edu Challenge 2023 ini berorientasikan kepada pengenalan umum HASiL, manfaat cukai, aplikasi ezHasil, ByrHASiL serta pelepasan cukai yang perlu disempurnakan oleh setiap kumpulan. 

“Program ini berkonsepkan ‘treasure hunt’ secara maya untuk menguji kefahaman, kepantasan dan kerjasama antara ahli pasukan dalam menyelesaikan soalan yang diberikan. 

“Treasure hunt’ ini mengandungi tujuh ‘checkpoint’ di mana setiap checkpoint mempunyai 9 soalan, berserta 3 ‘bonus round’ dan setiap checkpoint perlu diselesaikan dalam tempoh 15 minit. Jawapan betul dan masa terpantas bakal mengutip markah yang tinggi,” ujarnya yang juga Pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan.

 Sementara itu, Siti Hajar Roselee menyifatkan pertandingan itu cukup mencabar minda dan penuh kejutan yang tidak dijangka. 

“Cabaran pertandingan ini adalah platform permainan yang digunakan bukanlah aplikasi yang biasa digunakan. Pada mulanya agak sukar untuk mencari soalan bagi setiap ‘checkpoint’ selain klu yang diberikan adalah luar daripada konteks bidang percukaian dan memerlukan kami untuk berfikir di luar kotak. 

“Kami sangat berpuas hati dan teruja dapat menyertai pertandingan yang dapat menambah ilmu. Kami bersyukur kerana berjaya mendapat tempat ke-9 daripada 75 pasukan serta membawa pulang hadiah wang sejumlah RM200 berserta e-sijil,” tambahnya. 

Manakala Nur Farisha Saridi pula menjelaskan bahawa mereka mengetahui tentang pertandingan VTEC ini melalui “whatsapp” group Accounting dan mencari cara untuk mendaftarkan diri melalui “Facebook” HASiL. 

“Semua ahli bersetuju untuk mencuba nasib dalam pertandingan tersebut memandangkan kami semuanya adalah pelajar perakaunan yang mengambil subjek percukaian dan ingin menguji kefahaman kami berkenaan sistem percukaian di Malaysia” ujarnya.           

Sudah semestinya,  mereka akan mengikuti lagi pertandingan seumpama ini pada masa akan datang untuk mengasah softskil, keyakinan, peribadi unggul di samping membina ketahanan mental dalam melahirkan modal insan kelas pertama yang mendepani cabaran.