Alumni    •    Vacancy

KEMERIAHAN SAMBUTAN HARI MALAYSIA, SARAT PENGISIAN

KEMERIAHAN SAMBUTAN HARI MALAYSIA, SARAT PENGISIAN

0Di  era dunia tanpa sempadan yang serba canggih ini, gaya hidup manusia semakin pelik dan sukar dijangka malah ada yang sanggup melakukan perkara yang dilarang termasuk memfitnah dan mengambil hak orang lain.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, perkara paling utama yang ditekankan ialah menghindari fitnah yang amat berbahaya sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Maidah ayat 91 bermaksud: "Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu." 

“Jadikan institusi ini bebas daripada fitnah, keburukan, kebobrokan dan kebencian. Jadilah orang yang sentiasa berusaha menjadikan tempat yang suci lagi mulia terpelihara. Hindarkan perpecahan dan bangkit bersatu, bangsa menanti kehadiran kita mencipta sejarah baru, negara mengharapkan di sini tempat lahirnya pembela seperti pakar teknologi maklumat, ekonomi dan strategi bagi memastikan negara terbela dan bangsa bermaruah.

“Hari ini kerana perjuangan nenek moyang kita, bukan tiada orang luar yang mahu memusnahkan kita tetapi kerana kesungguhan mereka berjuang mempertahankan negara kita masih berdiri teguh.

“Andai kita berpecah maka robohlah segala impian terlerailah segala harapan yang diletakkan jutaan rakyat kepada UUM," tegasnya.

Malah Naib Canselor memberi ingatan agar tidak mengkhianati institusi dengan keputusan yang dibuat untuk kepentingan diri dan jangan sesekali mengambil sesuatu yang bukan hak walau satu sen.

“Jadikan diri kita sebagai benteng kukuh untuk mempertahankan institusi ini walau apa jua badai yang melanda demi memastikan universiti yang dibina 38 tahun tetap teguh berdiri.

“Kita di sini bukan untuk bekerja biasa-biasa kerana kita membina agama, bangsa dan negara kalau lihat kepincangan ubah dengan tangan jika tidak mampu dengan bicara, paling tidak dengan hatinya mengatakan aku benci segala bentuk pengkhianatan di tempat mencari rezeki.

“Tanamkan semangat ini agar kita kembali pada pencipta dengan hati sejahtera jadilah pembela, pahlawan yang mempertahankan institusi pengajian tinggi negara yang mulia,” katanya sempena Perhimpunan Bulanan dan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Universiti Utara Malaysia di Dewan Mu’adzam Shah, semalam.

Sambutan Hari Malaysia ini bertujuan untuk memperingati dan menghayati jasa sumbangan para pemimpin terdahulu dalam usaha merealisasikan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negara iaitu Malaysia.

Terdahulu, beliau bersama warga kampus menyertai program Briskwalk Keluarga Malaysia Peringkat UUM bermula di Dewan Mu’adzam Shah melalui Persiaran Perdana dan Pusat Pengajian Pengkomputeran. 

Majlis turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah, penyerahan bendera kepada Ketua Kontinjen UUM ke Kejohanan Sukan Staf Universiti Malaysia (SUKUM) kali ke-44,  penyerahan bendera dan kemeja T UUM-ABC Endurance Challenge 2022, Perkongsian Hari Malaysia bersama Mejar (B) Dr. Nor Ibrahim Sulaiman serta pelancaran Kejohanan Sukan Staf UUM (SUKUUM) 2022.