Alumni    •    Vacancy

JATI DIRI DI TELUK KAMPI JALINKAN SEMULA HUBUNGAN SESAMA AHLI

WhatsApp Image 2022 09 06 at 2.46.20 PMUUM ONLINE: Pulau Pinang - Kesatuan Kakitangan Universiti Utara Malaysia (KESKA) telah mengadakan Kursus Pengukuhan Semangat Kerja Dan Jati Diri selama tiga hari bermula 28 Ogos lalu di Telok Kampi, Taman Negara.

Pengarah program, Adilah Ishak yang juga Timbalan Presiden KESKA berkata, tujuan kursus ini adalah untuk memberi kesedaran kepada peserta betapa pentingnya tenaga dan usaha dalam menjalankan tugas dan mewujudkan interaksi positif bagi membentuk semangat kerja secara kolaborasi.

Selain itu, katanya, ia juga memberi panduan cara menangani stress, meningkatkan keyakinan diri dan memberi motivasi kepada staf.

“Sepanjang kursus ini, peserta diberi kemahiran mengaplikasikan strategi komunikasi berkesan bersifat asertif yang menjadi cabaran utama kepada semua individu terutamanya ketika berada dalam organisasi.

“Di samping itu, kita ingin memastikan kualiti komunikasi semua ahli KESKA yang merupakan staf UUM mampu dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Seramai 30 peserta telah mengikuti kursus yang berkonsepkan perkhemahan di mana peserta perlu mendaki sekeliling pulau bermula dari Teluk Bahang ke tempat perkhemahan sejauh 6 kilometer.

Peserta juga diajar memahami bacaan peta bagi mencari tempat lokasi perkhemahan dan cara-cara memasang khemah semasa tiba di tempat perkhemahan.

Peserta amat teruja kerana berpeluang menyertai kursus tersebut kerana konsep yang berbeza berbanding kursus lain yang pernah dihadiri.