Alumni    •    Vacancy

EKSPEDISI KAYAK UJI KETAHANAN MENTAL FIZIKAL 

L KAYAKUUM ONLINE: Tidak gentar meredah tasik yang luas di bawah terik mentari sesekali terumbang ambing merempuh badai, menongkah arus, hujan secara tiba-tiba menyukarkan lagi ekspedisi kayak.

Pelajar Sarjana Muda Sains Pemutusan, Nurul Ieman Hishamudin berkata, ekspedisi kayak ke Tasik Beris selama enam jam ternyata menguji ketahanan mental fizikal.

“Bayangkan kami terpaksa berdepan gelora, angin dan cara berkayak semuanya berlaku pada masa itu di sinilah teruji ilmu dan teknik semasa program dijalankan dan dapat menerapkan nilai kerjasama antara satu sama lain. 

“Kami keletihan kerana perjalanan yang jauh akan tetapi sorakan sokongan kawan-kawan membangkitkan semangat untuk menghabiskan ekspedisi kayak,” kata anak kelahiran Pahang.

Nurain Aisyah Noormad Razamussein berkata, apabila berkayak di tasik mereka sudah bersiap siaga menghadapi sesuatu yang tidak dijangka.  

“Cuaca tidak menentu, hujan dan panas berselang seli ketika ekspedisi kayak cukup memeritkan. Walaupun kami rasa sukar pada waktu tersebut dan ingin berputus asa tetapi sebenarnya kesukaran tersebut adalah sebuah kejayaan buat kami selepas berjaya menghabiskan kayak mengelilingi Tasik Beris.

“Tanpa kerjasama kumpulan agak sukar buat kami untuk bertahan dan menempuhi segala rintangan selain memberi semangat antara satu sama lain membuatkan beberapa orang yang hampir putus asa berjaya meneruskan sehingga ke garisan penamat,” ujar siswi Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Rangkaian Komputer).

Banyak yang dipelajari antaranya ketika berdepan saat getir sentiasa sabar dalam menempuhi sebarang cabaran dan semangat berpasukan memainkan peranan penting semasa berkayak.

“Pemandangan yang cantik, tasik yang terbentang luas, udara yang segar menjadikan kami sangat teruja dan terhibur melihat gelagat mencuit hati semasa berkayak,” ujarnya.

Sementara itu, pengarah program, Nurul Hidayah Mohd Ridzuan Kathiresan berkata, seramai 61 peserta menyertai program Outrec Tasik Beris Adventure Camp yang dijalankan selama tiga hari di Seri Ternas Resort, Tasik Beris, Sik, Kedah.

“Ekspedisi ini sarat dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya ‘water confidence’, berkayak dan ‘survival’ demi membentuk sahsiah diri, memupuk semangat kerjasama di kalangan peserta yang berbilang kaum seperti Cina, India dan Melayu sekali gus mengeratkan hubungan yang terjalin,” katanya. 

Seorang lagi peserta, Pelajar Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat), Amir Daniel Yusof berkata, di daratan pula segalanya mengenai ‘survival’ dalam hutan demi meneruskan kelangsungan hidup.   

“Saya sukakan cabaran jadi saya belajar erti kesusahan dan ilmu di dalam hutan seperti cara menggunakan sumber alam semula jadi, menyesuaikan diri dengan alam dan keluar dari zon selesa.

“Kami berpeluang menghidupkan api, membuat unggun api, memasak apa yang ada di hutan dan menyediakan kelengkapan seperti tempat tidur, berteduh dan tandas di samping permainan dan sembang santai,” kongsinya.

Peserta belajar untuk tidur dalam serba kekurangan tanpa peralatan yang sering digunakan misalnya ruang rehat yang terhad menyebabkan mereka bertolak ansur dan bergilir untuk berbaring.

Sesungguhnya pengalaman di Tasik Beris terlalu tinggi nilainya sekali gus mematangkan peserta yang mengajar erti kesabaran, kasih sayang dan bersyukur dengan apa yang ada.